Entry: HARI PENAMAAN CALON : PERARAKAN RAKSASA GAGASAN MAHASISWA UM Sep 18, 2006



Alhamdulillah, pagi tadi saya baru sahaja selesai menyertai perhimpunan besar-besaran anjuran GAGASAN MAHASISWA UNIVERSITI MALAYA (GMUM) bersempena hari penamaan calon pada hari ini. Cuaca cukup baik dan segala aksi yang telah dirancang, dapat dilaksanakan dengan lancar. Ratusan mahasiswa yang mendokong idealisme tulen mahasiswa muncul menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap GMUM, malah sanggup bertahan hingga ke tengahari, berbeza dengan kelompok Aspirasi yang bukan sahaja kecil bilangan penyertaannya, malah semakin surut apabila cuaca sudah mula terik. Perhimpunan event GMUM dimulakan di tempat parking kereta yang terletak bersebelahan AMCAL, dimana peserta telah mula membanjiri ruang parking seawal pukul 7.30 pagi lagi, dengan membawa banner masing-masing.

 

Perhimpunan kemudiaannya telah dimulakan dengan bacaan doa, nyanyian asma ul husna, lagu PMIUM dan lagu rasmi UM yang dinyanyikan dengan penuh bersemangat oleh peserta yang hadir. Seterusnya, saudara Sheikh Umar memberikan taklimat kepada peserta perhimpunan tersebut tentang aturcara serta pergerakan peserta sepanjang event berlangsung. Apa yang menarik pada kali ini ialah perhimpunan GMUM pada kali ini diwarnai dengan kehadiran pelbagai front yang tampil dengan identiti tersendiri. Ahli-ahli PMIUM tampil penuh karisma dengan pakaian yang sopan dan menyejukkan hati, dan mereka telah membentuk gelombang terbesar dalam perhimpunan tersebut. Manakala pendokong GMUM pula tampil penuh bergaya dengan baju rasmi S.W.A.T (Aspirasi Mahasiswa) sambil memakai headband bertulis GAGASAN. Selain itu, terdapat juga wakil-wakil daripada pelbagai persatuan berdaftar di UM, ditambah dengan gelombang mahasiswa yang menggelarkan diri mereka Komuniti Mahasiswa Kerinchi (KMK) serta UMANY.

 

Selepas peserta perarakan disusun dengan kemas dan teratur, perarakan dimulakan dengan diketuai oleh sebuah motor vespa klasik hijau metalik, diikuti kereta Volkswagen, seterusnya kereta STORM yang membawa barisan pimpinan PMIUM. Barisan seterusnya dipenuhi ahli-ahli PMIUM manakala barisan terakhir dibanjiri para pendokong GMUM. Selawat dikumandangkan oleh peserta perarakan bagi menonjolkan syiar Islam dan mengizzahkan PMIUM, selain memberikan isyarat yang jelas kepada kelompok Aspirasi bahawa, “Islam akan kembali memimpin”. Selawat kemudiannya diselang selikan dengan laungan-laungan keramat seperti “Student Power”, “Gagasan Power”, “Hidup Islam” dan lain-lain, yang diketuai oleh Saudara Nasaie dan Saudara Sheikh Umar, yang berdiri di atas kereta STORM. Satu suasana yang cukup meriah dan hangat yang memperlihatkan partisipasi luar biasa barisan pencinta kebenaran, sambil diwarnai dengan banner pelbagai saiz dan warna. Penyertaan para peserta pada kali ini bukan atas dasar paksaan atau dihantar bagi memenuhkan kuota semata-mata, sebaliknya disertai dengan penuh keikhlasan dan keinginan membara untuk melihat kemenangan besar GMUM dalam pilihanraya kampus kali ini walaupun dicemari dengan pelbagai taktik kotor HEP yang memperkudakan Aspirasi.

 

Kemuncak perarakan tiba apabila kontinjen mula melalui hadapan Fakulti Sains yang dipenuhi dengan penyokong Aspirasi dimana Saudara Nasaie mula memperhebatkan laungan dan sindiran supaya suatu mesej yang jelas dapat difahami oleh kelompok Aspirasi, bahawa mereka kini berada di ambang kekalahan. Perjuangan yang bersandarkan politik wang, persekongkolan dengan HEP (terutamanya Si Kalam;saya geli hendak memanggilnya “Encik”) akan ranap pada bila-bila masa sahaja. Percayalah. Apapun, saya sejak awal-awal lagi sengaja mengambil posisi di sebelah kiri barisan perarakan supaya dapat mengadap kelompok Aspirasi dan melakukan aksi dihadapan mata mereka. Malah, saya telah menjerit lebih kuat ketika itu sehingga hampir hilang suara sambil memandang penuh tegas kepada beberapa penyokong Aspirasi yang matanya meliar ke arah saya.

 

Perarakan berakhir apabila tiba di perkarangan Bangunan Peperiksaan, dimana aturcara diteruskan dengan ucapan daripada wakil-wakil mahasiswa pelbagai front. Ucapan yang bersemangat daripada Presiden PMIUM, Ustaz Mohd Nazree Mohd Yunus serta Pengarah Eksekutif GMUM, Saudara Abdullah Mohd Salleh cukup membakar semangat juang para peserta yang hadir. Wakil UMANY tidak kurang hebatnya dengan ucapan ringkas, padat dan padu yang menambahkan kehangatan perhimpunan tersebut. Seterusnya, acara diteruskan dengan nyanyian lagu rasmi GMUM sebelum peserta bergerak ke bahagian bahu jalan sementara menunggu calon-calon idaman melintasi menuju ke Auditorium KPS. Perang laungan bermula sekali lagi dan ditujukan kepada kelompok Aspirasi yang berkumpul di hadapan Jabatan Kimia, sambil wartawan dari pelbagai media mewawancara beberapa pimpinan, termasuk Ustaz Mohd Nazree. Suasana yang memperlihatkan bibit-bibit kemenangan, InsyaAllah.

 

Suasana dihangatkan lagi apabila satu demi satu calon idaman kelihatan berjalan di seberang jalan menuju ke kawasan penamaan calon. Mereka kelihatan begitu yakin sambil melambaikan tangan ke arah kontinjen GMUM, diiringi bodyguard masing-masing. Mereka lah yang bakal merubah corak kepimpinan mahasiswa ke arah idealisme mahasiswa yang tulen, bukannya mengikut telunjuk orang lain sahaja, seperti yang telah berlaku sejak calon-calon Aspirasi dilantik (mereka tak layak dikatakan memenangi kerana pilihanraya tidak telus) sebagai wakil dalam MPMUM dua tahun berturut-turut. Kebajikan mahasiswa terabai, penyelewengan wang berleluasa di kalangan pegawai HEP kerana mereka yang dilantik sebagai MPMUM sebelum ini telah menjadi perisai yang ampuh terhadap perancangan jahat mereka. Hanya perlu disogokkan dengan sedikit wang, top-up, rokok dan sebagainya dan anda akan melihat lambakan mahasiswa rendah harga diri berpusu-pusu memperhambakan diri kepada “mereka”. Jijik bukan? Inilah realitinya. Kebejatan terus dilindungi, dan mahasiswa kelompok Aspirasi ternyata mendapat penghinaan terbesar dalam sejarah hidup mereka, tanpa mereka sedari (walaupun sudah berkali-kali cuba disedarkan).

 

Acara kemuncak berlangsung apabila Ustaz Mohd Nazree melepaskan kontinjen konvoi bermotor yang mengiringi kereta STORM mengelilingi UM bertujuan memperkenalkan GMUM kepada seluruh mahasiswa serta menyemarakkan lagi perjalanan pilihanraya kampus pada kali ini. Kibaran bendera berwarna-warni, deruman motor menjadi tumpuan seluruh warga kampus pada hari ini sambil kelompok Aspirasi hanya melopong dan membisu (dan makan asap).

 

Akhirnya, perarakan dan perhimpunan kemudiaannya terpaksa dihentikan atas saranan Encik Sharif, pegawai keselamatan UM. Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Dzulkhairi diikuti dengan lafaz doa wehdah sambil berpaut antara satu sama lain (ribat) yang diketuai oleh Saudara Sheikh Umar. Peserta bersurai menuju ke KPS untuk melihat senarai calon yang bertanding sementara sesetengahnya beredar dengan urusan masing-masing.

 

GAGASAN POWER!!!

 

Ahmad Shakir bin Salleh

Mahasiswa UniMalaya

18/9/2006

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments