Entry: UMNO MASUK KAMPUS : APA YANG TERSIRAT DI SEBALIKNYA? Aug 16, 2006



Alam kemahasiswaan semestinya menjanjikan seribu satu pengalaman yang sukar diperolehi sepanjang hidup bagi mereka yang memanfaatkan sebaik mungkin perjalanan hidup mereka sebagai seorang mahasiswa. Segala sepak terajang, konflik, mehnah dan tribulasi yang mewarnai kehidupan seorang mahasiswa, kesemuanya menyumbang ke arah pembentukan seorang mahasiswa yang matang, teguh jatidirinya, berpandangan jauh, celik dan mampu menjadi golongan check and balance di Malaysia. Mahasiswa cukup sinonim dengan idealisme tersendiri, unggul dan dinamik tanpa dikongkong oleh mana-mana pihak. Perjuangan mahasiswa adalah perjuangan yang tulen, tanpa mengharapkan apa-apa habuan, sebaliknya diisi dengan keikhlasan yang tidak berbelah bahagi.

 

Jika kita menelusuri kembali sejarah perjuangan mahasiswa terdahulu, mereka dilihat cukup komited mencurahkan segenap tenaga membangunkan masyarakat, terutamanya berkaitan isu-isu rakyat marhaien, yang ditindas dari aspek ekonomi dan sosial. Salah satu contoh terbaik yang saya boleh kongsi ialah bagaimana inisiatif kelompok mahasiswa Universiti Malaya pada era 60-an yang mengorbankan waktu cuti semester mereka untuk melakukan khidmat sosial iaitu membantu membasmi masalah buta huruf. Mereka telah mengambil inisiatif dengan menyewa beberapa buah bas milik universiti untuk turun ke kampung-kampung dan mengajar penduduk di sana membaca, menulis dan mengira, tanpa ada sehelai KKD(Kertas Kerja Dasar) pun. Begitu juga jasa Anwar Ibrahim ketika menjadi pimpinan pelajar di Universiti Malaya, yang telah menggerakkan Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) secara besar-besaran ke seluruh negara suatu ketika dahulu. Apa yang berlaku pada hari ini adalah berlawanan sama sekali, dimana Operasi Khidmat Masyarakat yang dikendalikan pada hari ini, hanya sekadar mahu menonjolkan nama universiti masing-masing dan tidak turun ke grassroot. OPKIM pada hari ini telah disalahgunakan oleh mahasiswa sebagai peluang untuk makan angin, melancong dan bersuka ria. Inilah realiti yang berlaku.

 

Di universiti, mahasiswa terdedah dengan pelbagai wacana, aliran jalur pemikiran, serta kerencaman budaya yang memerlukan keupayaan mahasiswa menanggapi kesemua cabaran ini dengan persiapan mental yang kuat. Mereka diajar untuk tidak menjadi pak angguk sahaja, tetapi bersedia menilai, mengkritik serta mencipta idea-idea yang segar dan berguna kepada masyarakat. Pihak universiti bertanggungjawab menyediakan segala prasarana yang mampu mengembangkan minda mahasiswa ke arah yang paling optimum. Prasarana di sini bermaksud bukan sahaja meliputi infrastruktur fizikal, bangunan, perpustakaan sahaja, bahkan dasar-dasar universiti juga harus menjurus ke arah pembentukan ini. Mahasiswa perlu dibiarkan subur dengan idealisme mereka, supaya mereka tidak menjadi generasi yang hanya berfikir secara sehala, dogmatik serta tidak bersedia menerima idea luar.

 

Cukuplah muqaddimah panjang yang saya utarakan sebentar tadi. Niat saya hanyalah untuk menyediakan pembaca sebelum kita memasuki isu utama yang ingin saya bangkitkan ini. Minggu lalu, ketika saya berjalan-jalan di sepanjang gerai-gerai PASKUM[baca : Pasar Malam Konvokesyen Universiti Malaya], saya merasa terkejut tatkala menatap sebuah kain rentang iklan yang bercetak “Pertandingan Scrabble”. Bukan Pertandingan Scrabble yang cuba saya persoalkan, tetapi saya terkesan apabila tercatat “dirasmikan oleh Encik Ahmad Ikmal Ismail, Pengerusi Biro Pendidikan, Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Anjuran MPMUM dan HEP”. Saya tersenyum sinis kerana ini bukan kali pertama pihak HEP mengimport konco-konco UMNO merasmikan event yang diadakan, bahkan sudah tidak larat dikira dengan jari tangan dan kaki. Walaupun majlis itu adalah majlis yang tiada kena mengena dengan perasmi yang dijemput. Apabila melangkah ke Auditorium Kompleks Perdana Siswa pula, saya terus tersenyum melihat tertulis “Kejohanan Silat Gayong Piala TNC ; dirasmikan Datuk Dr. Adham Baba, Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran Malaysia.” Isu UMNO masuk ke kampus-kampus bukanlah suatu isu baru yang mendatangkan kehairanan. Bahkan isu ini telah berulangkali dibicarakan saban tahun, tetapi masih dipandang sepi oleh pihak yang berkaitan. Pihak berkaitan yang saya maksudkan ialah pihak HEP yang diterajui oleh mereka yang terdiri dikalangan penjenayah keintelektualan. Mereka sanggup menjadi tali barut menjahanamkan anak bangsa, dengan mengadakan pelbagai sekatan dan tekanan kepada mahasiswa, supaya hanya mengikut telunjuk mereka. Mereka menggunakan AUKU sebagai senjata utama mencantas idealisme mahasiswa, mengurung kebebasan mahasiswa untuk berfikir dan bergiat aktif dalam lapangan yang lebih luas.

 

Apa yang saya kesalkan, pihak HEP telah menyalahgunakan penguatkuasaan AUKU yang jelas dilihat melalui tindakan mereka mengimport sebanyak mungkin orang-orang UMNO masuk ke kampus-kampus untuk mendoktrin mahasiswa menyokong mereka. Mereka begitu marah dan sentiasa memastikan tiada orang-orang dari pihak pembangkang masuk ke kampus kerana dikatakan melanggar AUKU. Adakah AUKU ini hanya relevan dilaksanakan apabila tidak mengikut selera mereka? Sebagai mahasiswa sejati, saya berpendapat bahawa mahasiswa pada hari ini, terutamanya ASPIRASI, telah mendapat penghinaan yang terbesar dalam diari kehidupan mereka sebagai mahasiswa, kerana gerakan mahasiswa yang mereka cuba bawa, di bawah nama Majlis Gabungan Mahasiswa Universiti Malaya (MGMUM), telah ditunggangi oleh pihak HEP dengan rakusnya. Mungkin mereka tidak sedar bahawa perjuangan yang mereka bawa adalah perjuangan yang tiada idealisme tersendiri, dikongkong serta hanya menurut segala arahan HEP walaupun dalam perkara yang batil. Saya mengatakan ianya suatu penghinaan kerana hakikat gerakan mahasiswa adalah gerakan yang diterajui oleh kelompok mahasiswa yang berunsurkan akademik, independent serta dinamik tanpa dipengaruhi unsur luar. Hakikat ini perlu difahami oleh semua yang mendakwa mereka membawa perjuangan gerakan mahasiswa.

 

            Fenomena UMNO masuk ke kampus merupakan salah satu strategi halus yang telah dirangka di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sebagai usaha meng’UMNO’kan keseluruhan IPTA di Malaysia. HEP merupakan pintu utama yang membenarkan mereka menjalankan misi secara halal, sekalipun ianya jelas melanggar undang-undang AUKU yang mereka hasilkan sendiri. Kini musim pilihanraya kampus hampir menjengah, maka kita akan dapat menyaksikan pencabulan demi pencabulan terhadap proses pilihanraya yang bakal berjalan. Antara yang mereka sudah biasa lakukan ialah mengugut mahasiswa di kolej-kolej kediaman supaya mengundi calon Aspirasi, jika tidak akan dinafikan hak tinggal di kolej pada sesi akan datang. Pengetua-pengetua kolej pula akan menakut-nakutkan mahasiswa, disamping pihak HEP yang mengancam akan mem”blacklist”kan nama-nama mereka yang mengundi calon selain Aspirasi. Keseluruhan jentera mereka akan digerakkan untuk mengancam mahasiswa dengan nada “tarhib” agar kesemua memihak kepada calon mereka. Persekongkolan di antara pelajar Aspirasi dan pihak HEP(lebih tepat jika saya katakan pihak HEP mempergunakan pelajar Aspirasi, bukan bersekongkol) jelas menyalahi peraturan pilihanraya kampus, yang menyatakan pihak HEP tidak boleh masuk campur dalam proses pilihanraya, kerana mereka hanya perlu mengendalikannya sahaja.

 

            Sebagai seorang yang bergelar mahasiswa, saya selaku pemerhati menyarankan kepada semua sahabat-sahabat mahasiswa supaya menilai sesuatu perkara dengan kebenaran dan keadilan. Sebarang provokasi, tuduhan negatif serta cacian yang dilemparkan terhadap sesuatu pihak perlu diperhalusi dengan bijak. Jangan kita terus mempercayai apa-apa berita yang sampai kepada kita tanpa kita menyelidiknya terlebih dahulu. Sebagai manusia yang cintakan semangat kebenaran dan keadilan, kita seharusnya mengambil peluang untuk mengkaji, adakah benar pertuduhan itu, atau hanya dilemparkan atas motif kepentingan sendiri. Mahasiswa adalah tetap mahasiswa. Jangan sia-siakan title yang anda galas sepanjang berada di universiti. Isu UMNO masuk ke kampus akan tetap berlaku setiap tahun, tetapi anda lah faktor penentu pengembalian kedaulatan sesebuah universiti. Jangan biarkan mereka mencemar keintelektualan yang telah kian terhakis kini. Apa tindakan kita? Teruskan mengkaji dan anda akan menemui kebenaran.

 

AHMAD SHAKIR BIN SALLEH,

Setiausaha,

University of Thinker (UNITE)

   1 comments

cucu dato' bahaman
September 26, 2006   09:01 AM PDT
 
assalamualaikum...

saya merupakan lepasan universiti yang melalui 3 lapisan / peringkat dari diploma (1987), ijazah pertama (1997) dan master (2003) di universiti yang sama. dan kini berkhidmat diuniversiti yang sama sebagai tenaga akademik. dari pandangan saya sebagai penuntut dan kini sebagai tenaga pengajar amat merasakan bahawa sebenarnya pelajar-pelajar dipergunakan oleh parti politik. dalam erti kata lain ialah pelajar-pelajar sebenarnya telah dikaderkan untuk menjadi pelapis kepada parti - parti politik terutamanya parti politik pembangkang. ini jelas sejak dari dulu lagi. sebenarnya parti politik pembangkang terutamanya PAS telah lama bertapak diuniversiti melalui sokongan dari para pensyarahnya. kalau dulu pihak universiti / kerajaan tidak ambil tahu hal ini tetapi kini pihak kerajaan tidak lagi memandang sambil lewa hal perkembangan politik pelajar universiti. siapa berani menidakkan hal ini. bagaimana PMI digunakan secara teratur oleh pihak tertentu untuk menjaderkan pelajar universiti. Apakah sebenarnya yang diperlukan oleh pelajar diuniversiti. adakah MPP harus/wajib membawa isu negara di dalam kampus ataupun yang lebih penting adalah membawa isu kebajikan pelajar kepada pihak universiti. adakah tidak cukup untuk ahli parlimen untuk membawa isu-isu yang lebih penting / besar lagi seperti yuran pelajaran, asrama dan sebagainya di parlimen dan diperbincangkan. kerana rasa saya sebagai penuntut apa yang lebih penting adalah pelajaran tetapi bagi parti politik adalah pelapis mereka samada pelapis tersebut berjaya menamatkan pelajaran bukan lah perkara penting. yang kesian adalah anak melayu kita kerana mereka terkapai-kapai terutamanya pelajar baru. pelajar baru hanya dipergunakan oleh para senior untuk dijadikan pelapis mereka di dalam persatuan tertentu yang digunakan sepenuhnya dan para senior hanya memberi arahan untuk melaksanakan kerja-kerja. tetapi tahukah kita bahawa pelajar baru inilah yang perlu dibimbing di dalam pelajaran mereka supaya memperolehi CGPA yang sepatutnya agar mereka tidak akan ditendang kelak.

wassalam

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments