Entry: RAHSIA DARI MENARA : AUKU - PINDA ATAU MANSUH? Jul 18, 2006



Oleh: Ali Bukhari Amir

11 Julai lalu saya diminta oleh rakan-rakan ‘mangsa Auku’ untuk memberi sedikit ucapan dalam sesi perbincangan mengenai pindaan Auku. Perbincangan itu dianjurkan Presiden Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah.

Moderator perbincangan itu ialah Dr Syed Husin Ali. Hadir sama ialah encik Tian Chua, Hishamudin Rais dan lain-lainnya. Semua orang percaya, perbincangan itu tercetus ekoran desakan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Dato’ Dr Mohd Khir Toyo dalam Mesyuarat Agung badan itu baru-baru ini.

Khir dalam ucapan beliau di Mesyuarat Agung MBM menyarankan Auku dipinda bagi membolehkan pelajar itu menganggotai mana-mana pertubuhan belia yang bernaung di bawah MBM secara sah.

Keputusannya tidak memeranjatkan. Auku bukan dipinda, malah perlu dimansuh terus. Selepas Soh Sook Hwa sebagai pengucap yang pertama mengesyorkan Auku perlu dimansuhkan, maka saya, khatib kedua terus menyarankan sokongan saya tentang hal itu.

Saya menyebutkan sokongan 200% terhadap apa juga usaha dalam memansuhkan akta itu. Sebenarnya, Soh bukan orang pertama yang mengucapkan hal itu. Sebelum Soh diberikan laluan, Dr. Syed Husin Ali telah pun menyatakan kesimpulan awalnya di dalam sehelai kertas ucapannya. Pada isi ke-16, Syed Husin sendiri menyarankan demikian.

"Sebagai matlamat akhirnya Auku perlulah dimansuhkan. Buat permulaan, semua bahagian-artikel yang menjejaskan autonomi universiti dan menjejaskan hak asasi pelajar serta kakitangan akademik, terutamanya pindaan-pindaan yang berkuatkuasa pada 13 Mei 1975 hendaklah dihapuskan segera," kata beliau.

Setidak-tidaknya, tambah Syed Husin, Auku perlu kembali kepada era 1971, iaitu sejak ia mula diperkenalkan.

Jadi, apabila saya mendengar hal itu, saya bertambah girang. Selepas Soh khatam ucapannya, tiba giliran saya berucap. Di akhir ucapan itulah, saya menyokong pandangan Syed Husin dan Soh sekali gus.

Saya cuma bangkitkan satu tema utama yang paling menyayatkan hati saya dalam Auku ini. Iaitu, jelas terkandung di dalamnya satu perenggan yang meminta mana-mana pelajar tidak menyatakan bantahan, pendirian, sokongan kepada mana-mana ahli politik.

Dalam hal ini, sebagai insan yang memilih untuk tidak cenderung terhadap mana-mana parti politik, tentulah hal ini tidak mendatangkan masalah kepada saya. Saya bukan pemimpin politik kepartian atau ahli yang begitu taat kepada mana-mana parti, hinggakan terpaksa atau dipaksa oleh pucuk pimpinan dalam membuat kenyataan untuk menyokong mereka di atas isu-isu tertentu.

Akan tetapi, memang jelas ada peruntukan tertentu yang apabila ditafsirkan, maka Auku itu mendesak serta mengasak mahasiswa untuk memohon kebenaran pemimpin IPT untuk menulis dan mengarang ke media-media. Dalam hal ini, saya jadi cepat naik darah, mengamuk dan meradang.

Darihal apa kejadahnya, maka saya perlu meminta keizinan? Teori-teori yang kita pelajari di universiti yang menyinggah ke jemala kita lazimnya dikunyah hadam sehingga matang dan masak sebelum ia dikeluarkan semula dalam bentuk pertanyaan mulut. Erti di sini, setiap teori yang masuk ke benak kita, tentulah akhirnya ada yang keluar pula.

Setiap yang masuk, ada keluarnya

Apabila saya mempelajari sesuatu atau pun membuat penyelidikan melalui bahan-bahan akademik, tentulah saya temui beberapa fakta yang kadangkala saya rasakan boleh disanggah. Mungkin saya temui sesuatu idea yang saya anggap kurang matang dan masih ada ruang untuk diperbaiki melalui satu bentuk penulisan yang berterusan.

Malangnya, di universiti sekarang tidak begitu. Mereka melihat teori-teori, apatah lagi jika teori dan idea itu berguguran dari langit keangkuhan pentadbiran negara, maka ia harus diterima bulat-bulat. Jangan sesekali dimuntahkan keluar. Telan sahaja.

Mana boleh begitu! Ada juga yang kita kena semak halal-haramnya sebelum kita memakannya. Dan kalau kita makan makanan halal sekali pun, sudah tentulah kita akan ‘mengincit’ atau ‘meninja’ (buang air besar dan kecil) dalam tandas. Maknanya, makanan yang masuk di mulut itu dikunyah mamah, masuk ke perut lalu dihadam.

Habis hadaman, lalu ke tandas juga akhirnya. Sama ada dia seorang raja, Perdana Menteri, Menteri Pengajian Tinggi, Menteri Pelajaran dan dia penggubal Auku sekali pun tentulah dia akan ke tandas jua setelah dia makan dan minum.

Syahadan, adapun ilmu itu demikianlah halnya juga. Jika teori, fakta - data masuk ke dalam kepala lalu dihadam, teori dikunyah mamah, kemudian akal mencernakan idea itu hingga masak serta matang, akhirnya tangan kita akan menaip atau pun ‘meninja’ dan ‘mengincitkan’ idea-idea baru ke tandas persuratkhabaran dan majalah. Itulah prosesnya.

Saya menadah tangan merafakkan sembah kepada sidang pembaca yang terpaksa mengikuti A-Z untuk saya menceritakan jalan-jalan dan laluan pemikiran mengenai idea, hingga terpaksa saya membekalkan contoh seperti makanan yang akhirnya mengirimkan tinja ke tandas. Saya terpaksa berbuat demikian untuk memahamkan pemimpin IPT yang semakin benak ini. Ambillah contoh apa pun sekeliling kita. Setiap ‘input’ ada ‘output’.

Setiap yang masuk tentu ada keluarnya. Setiap yang makan dan minum tentu ada yang akan mengincit dan meninjanya. Setiap teori yang dipelajari tentulah akan lahir pula gagasan baru pula yang mengiringinya. Setiap tesis, tentu ada anti-tesisnya. Ini semuanya merujuk kepada proses kematangan minda sebagaimana layaknya dia sebagai manusia.

Atau kalau kurang jelas, maaf saya bercakap bahasa kelucahan. Setiap benih mani sperma lelaki yang dipancutkan di dalam rahim wanita, secara idealnya tentu melahirkan anak dan zuriat baru. Jika bahasa kelucahan akademik ini pun, orang akademik universiti pun susah memahaminya, saya tidak tahu mahu bicara apa lagi.

Oh ya! Pepatah P. Ramlee ada menyebutkan: "masuk angin keluar asap!" Jadinya, kalau tiap-tiap yang masuk itu tiada dikeluarkan, maka rosaklah badan. Jika makan, tiada meninja, membusung dan memekunglah tinja dalam badan menumbuhkan penyakit.

Jadi, sebab itulah, kalau kita mahu meninja dan mengincit, maka teruslah pergi ke tandas tanpa kita memerlukan keizinan sesiapa pun. Mereka yang menganggap keizinan diperlukan untuk pergi ke tandas adalah gila namanya.

Sebab itu, apabila kita tidak diberi keizinan untuk ‘meninja’ idea di media secara terbuka, maka di universiti kini penuh ‘sampah-sarap’ idea yang ditinjakan di merata-rata seperti surat layang dan sebagainya. Jikalau keizinan tidak diperlukan, maka pelajar akan meninja idea secara terhormat. ‘Tandas’ idea seperti surat layang tidak diperlukan lagi.

Apa lagi yang boleh dilakukan? Mahu meninja dan memberakkan idea secara sah, tandas idea tidak lagi disediakan dan keizinan meninja itu diperlukan dalam tempoh yang lama pula. Pihak universiti bukanlah ikhlas sangat untuk memberi laluan terhadap proses meninja ini. "Busuk!" kata mereka.

Menyatakan Tauhid setelah melihat alam

Disebut di dalam al-Quran bahawa Allah adalah Tuhan kepada seluruh alam. Nabi Ibrahim yang masih kecil pun pada mulanya menganggapkan cakerawala, bulan dan suria sebagai tuhannya, sehinggalah baginda mendapat kebenaran sejati mengenai Tuhannya.

Kemudian, Ibrahim menyatakan pendiriannya dengan jelas: "Tuhanku ialah tuhan yang telah menciptakan seluruh alam ini." Menyatakan pendirian Tauhid ini memanglah ada disebutkan sebagai dialog insan-insan tertentu di dalam al-Quran. Allah merakamkan semua ini untuk menunjukkan bahawa pendirian ini jangan sesiapa pun menahannya.

Kalakian, dalam ramai pemerintah, adalah juga seorang penguasa yang zalim lagi menindas adanya. Fir’aun namanya. Suatu hari, dia mahu menewaskan Musa dan Harun.

Lalu dikerahnya barisan ahli sihir untuk berdepan dengan kedua-dua nabi ini. Hal ini ada diceritakan dalam surah al-A’raaf ayat 120 hingga 123. Tuan-tuan boleh membaca kisah ini di sana. Pendek cerita, tewaslah sihir mereka apabila merempuh mukjizat Musa.

Ahli-ahli sihir ini akhirnya mengambil langkah Ibrahim a.s dan orang-orang soleh terdahulu, iaitu apabila mereka melihat sahaja kekuatan alam ini maka mereka bersembah sujud kepada Tuhannya, iaitu Allah s.w.t. Mereka menyebutkan bahawa mereka beriman kepada Tuhan Musa dan Harun.

Apa yang menariknya, di dalam surah al-A’raaf ayat 123 itu, Firaun memutarkan ‘firman’ kurang lebih begini: "Apakah kamu semua beriman, sebelum meminta keizinan daripadaku?"

Maknanya, Firaun telah pun menyekat pendirian ahli-ahli sihir untuk menyatakan Tauhid. Sekatan itu wujud ketika Firaun berkata, bahawa dia berhak mengizinkan mereka untuk menyatakan pendirian Tauhid tersebut.

Hal ini amat dimurkai Tuhan. Sekatan-sekatan ke atas pendirian Tauhid ini wujud juga dalam tradisi kafir musyrikin Quraisy Mekah ketika pihak elit atasan menyeksa para hamba mereka yang beriman terhadap ajaran Muhammad s.a.w. Semua ini adalah sekatan yang sebenarnya tidak diperlukan.

"Jadinya," saya meneruskan hujah, "samada anda bersetuju atau tidak, maka saya ingin menyatakan di sini bahawa Auku sebenarnya, adalah khazanah warisan Firaun yang diamalkan oleh para pemimpin universiti, khususnya HEP."

Hadirin ketawa apabila mendengar hujah saya panjang lebar. Dewan Mesyuarat di Tingkat 4, Parlimen itu memuatkan kira-kira 40 orang lebih daripada pelbagai pertubuhan mahasiswa, NGO-NGO termasuk seorang NGI.

Selepas saya duduk, Dr Syed Husin mengulas sekilas: "Sebenarnya, semua agama membantah kezaliman, bukan Islam saja. Cuma, saya mahu tambah sedikit. tentang Auku warisan Fir’aun. Saya setuju. Bahkan, ia memang diwujudkan oleh ‘Firaun besar’ dengan kerjasama ‘Firaun kecil’ pada ketika itu.

Secara tersirat, ‘Firaun besar’ yang dinisbahkan itu ialah Menteri Pelajaran ketika era 70-an, sementara ‘Firaun kecil’ yang dimaksudkannya ialah Naib Canselor Universiti Malaya pada tahun-tahun pergolakan dan drama perselingkuhan itu berlaku.

Saya mendapat tahu perkara itu apabila terdengar sampukan Isham Rais mencelah antara bilah-bilah ungkapan ucapan Dr Syed Husin tadi. Kemudiannya, saya menyatakan bahawa idea memansuhkan Auku mustahil terlaksana dalam keadaan kerajaan tak pernah ikhlas kepada mahasiswa. Contohnya, ISA7 yang sehingga kini terabai pendidikannya.

Cuma satu jalan. Kepung Parlimen dan paksa MP memansuhkannya tanpa syarat!

 

 

   7 comments

web design
June 24, 2009   09:39 PM PDT
 
faham setakat mana
malaysia web design
June 22, 2009   07:36 PM PDT
 
SAYA PUN DAH FAHAM
hydrant system
June 2, 2009   01:00 AM PDT
 
SAYA DAH FAHAM
malaysia pr
April 2, 2009   01:43 AM PDT
 
KURANG JELAS LA
exhibit manufacturer
April 2, 2009   01:22 AM PDT
 
saya pun sokong
exhibit manufacturer
April 2, 2009   01:16 AM PDT
 
saya pun sokong
web design
April 1, 2009   01:58 AM PDT
 
saya setuju

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments