Jerung Sakti
|
|
Nov 5, 2006
Berikut merupakan karya puisi salah seorang sahabat saya di Universiti Malaya. Beliau cenderung menyampaikan mesej dan dakwah melalui bentuk puisi. Semoga Allah memberkati dan merahmati beliau. Selamat membaca, mendeklamasi, menghayati dan menyebarkannya.
Senyum anak mujahid
Senyum itu masih pudar
Di bibir yang semakin bundar
Menyatakan sesuatu yang sukar
Dari hati yang kian tercalar...
Matanya menceritakan segala-galanya
Penderitaan yang tiada hujungnya
Tercipta dari bara dusta
Menyalakan sekam sengketa
Cerita-cerita cereka diceritera
Oleh sang penglipurlara
Petah lidah memutar bicara
Gembiranya hanya pura-pura
Rajawali terbang bagai tiada arah
Di kaki langit senja nan merah
Menyaksikan manusia kehausan darah
Kemuncak pelunasan amarah
Dia masih tersenyum pudar
Namun demi cinta-Nya
Semangatnya semakin membara
Berjuang menumpahkan darah
Kerana ingin memadamkan amarah
Tiada dendam dan marah
Hanya menuntut janji Allah
Syahid untuk al-Jannah.
Hasbullah Haji Mohamed @
Hasbullah HM
Universiti Malaya
Posted at 06:17 pm by Jerung Sakti
Permalink
Oct 31, 2006
SALAM AIDILFITRI BUAT SEMUA
Assalamualaikum sahabat-sahabat yang saya rindui sekalian. Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Salam Aidilfitri kepada semua, khususnya pengunjung blog ini yang meluangkan masa melawat rumah saya yang sudah sekian lama terbiar hingga hampir dimakan anai-anai. Alhamdulillah, kita masih diberikan peluang melata di muka bumi di atas satu matlamat mengabdikan diri kepada-Nya, dalam apa jua bentuk sekalipun. Medan amal dan bakti terbuka luas bagi sesiapa yang ingin merebutnya, menggunakan apa jua alat dan mekanisme. Bagi saya, medan blog ini merupakan hanya sekelumit usaha untuk bertukar-tukar idea dan buah fikiran dengan para pengunjung blog yang saya pasti terdiri daripada kalangan pencinta ilmu dan matang pemikirannya.
Baru-baru ini, saya ada menerima kiriman SMS daripada seorang sahabat baik saya yang menanyakan kepada saya bagaimana hendak menjadi penulis yang baik seperti saya (katanya). Beliau berminat untuk menceburkan diri dalam bidang penulisan, dan meminta saya membantunya kerana beliau sudahpun mempunyai minat dan kesedaran. Beliau juga menceritakan kepada saya bahawa beliau pernah mencuba menulis sebuah cerpen dan telah meminta seorang penulis mengkritik penulisannya, dan apa yang beliau perolehi selepas itu adalah kritikan yang hampir membuatkannya putus asa. Saya merasa amat gembira atas kesediaannya untuk menulis secara serius, menyedari bahawa saya pernah bermula dari "kosong" sebagaimana beliau sekarang, hinggalah pada hari ini, tidak menjadi masalah bagi saya untuk menulis dengan baik. Resepinya tetap sama, iaitu MINAT, MASA, KESUNGGUHAN.
Saya masih ingat lagi pengalaman ketika di bangku sekolah menengah dahulu, dimana subjek Bahasa Melayu merupakan subjek paling membosankan, lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan penulisan. Apabila tiba waktu subjek BM, saya akan memikirkan 1001 helah untuk melepaskan diri daripada menyerahkan tugasan kerja sekolah yang diberi, kerana saya jarang menyiapkannya. Antara taktik yang pernah saya gunakan ialah setiap kali guru saya mengarahkan kami menyerahkan tugasan (kebiasaannya ketika hampir tamat kelas), saya akan menyelinap keluar menuju ke tandas sehingga guru saya keluar meninggalkan kelas. Kedudukan saya di hujung belakang, bersebelahan pintu belakang kelas memudahkan saya menghilangkan diri pada saat-saat mencemaskan itu. Nasib saya selalunya baik kerana guru saya jarang memeriksa siapa yang tidak menghantar tugasan. Itulah yang berlaku hampir sepanjang tahun ketika saya di tingkatan 3, sehinggakan buku karangan saya hanya tertulis beberapa karangan sahaja. Markah BM pula selalunya tidak melebihi markah subjek BI, hanya cukup-cukup makan melepasi gred A. Mujurlah saya mendapat A dalam subjek BM dalam Penilaian Menengah Rendah.
Pada pendapat saya, apabila saya memikirkan kembali dan menilai pengalaman saya mempelajari BM di sekolah dahulu, saya beranggapan bahawa sistem pendidikan BM di negara kita gagal bukan sahaja dari sudut falsafah, tetapi fokus juga kelihatan kabur dan apa yang diketahui oleh pelajar ialah mereka perlu meraih gred A dalam subjek BM, sebagaimana subjek Matematik, Geografi dan lain-lainnya. Maka subjek BM turut mengikut jejak subjek-subjek lain, dimana ianya akan diajar secara taktikal, strategi, bagaimana mendapat markah banyak, apakah senarai kesalahan yang perlu dielakkan dan bukannya mengarahkan pelajar ke arah penyuburan kecintaan mereka terhadap bahasa mereka sendiri. Mereka diajar untuk menulis untuk peperiksaan, bukannya menulis untuk mengikat ilmu pengetahuan. Mereka juga diasak untuk menulis dengan baik, dalam keadaan mereka jengkel dengan budaya membaca dan cintakan ilmu, kerana penulisan yang kosong akan datang dari minda yang kosong.
Melangkah ke universiti, barulah saya mula menyedari kepentingan menulis dan manfaatnya yang sangat besar bukan sahaja kepada diri sendiri, bahkan kepada orang disekeliling. Menulis bukanlah bermakna kita perlu mengejar standard penulis-penulis handal seperti A. Samad Said, Shahnon Ahmad dan sebagainya, tetapi cukuplah penulisan kita boleh difahami dan bernas isinya, disamping tidak mengabaikan beberapa teknik supaya penulisan tidak menjadi terlalu mendatar dan membosankan. Seperti yang telah saya nyatakan tadi, kualiti penulisan boleh ditingkatkan melalui MINAT, MASA DAN KESUNGGUHAN. Itu sahaja resepinya. Tidak lupa juga ucapan penghargaan kepada 2 orang mentor penulisan saya yang berjasa besar terhadap peningkatan saya dalam bidang penulisan blog dan penulisan ilmiah, iaitu mentor utama saya, saudara Muhammad Nuruddin Bashah, dan mentor saya secara tidak langsung, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Mereka berdua merupakan penulis yang progresif dan musleh melalui blog masing-masing, dan saya sedang menuruti jejak langkah mereka untuk menjadi seorang penulis yang berjuang melalui mata keyboard, membaiki masyarakat secara komprehensif. Apa yang mungkin akan membantutkan usaha ini adalah sikap saya sendiri. Jika saya malas, tandus minat terhadap usaha ini serta kurang kesungguhan, maka itulah kezaliman yang telah saya timpakan kepada diri sendiri dan bukannya salah orang lain.
Ada segelintir mulut-mulut picisan yang mengatakan bahawa penulisan di blog merupakan usaha yang tidak berfaedah dan tidak mampu mengubah apa-apa, apatah lagi mengubah mentaliti, sikap dan pemikiran masyarakat yang serba caca merba pada hari ini. Mulut-mulut yang berkata sedemikian seolah-olah memandang bahawa hasil merupakan satu-satunya justifikasi dalam berbuat sesuatu. Jikalau Rasulullah mempunyai mentaliti sedemikian, maka mustahil Islam dapat disebarluaskan ke seluruh pelusuk dunia, kerana perjuangan yang mempunyai matlamat yang jelas tidak bermakna akan gagal seandainya tidak membuahkan hasil, tetapi ia akan tetap berjaya selagimana segala perancangan itu menurut jalan yang telah digariskan dan tidak sesekali terseleweng dek kegopohan meraih hasil. Masyarakat akan selama-lamanya terpisah daripada kebaikan selagimana kita, yang bukan sahaja tidak mahu menghulur tangan, bahkan mencantas tangan-tangan lain yang mahu menjengah ke tengah masyarakat.
Walau apa pun, saya merasa gembira dengan semangat yang ditunjukkan oleh sahabat saya itu (semoga Allah memudahkan urusannya) dan saya yakin masih ramai lagi di luar sana yang mempunyai potensi dan bakat untuk menulis ke arah kebaikan, tetapi tidak disedari dan tidak diberikan peluang. Mereka mungkin masih seperti saya suatu ketika dahulu, tidak menyedari bahawa penulisan adalah ibarat pisau yang tajam, tetapi tidak pernah digunakan untuk memotong daging kambing, sehinggakan pisau itu pudar dan tumpul ditelan masa, malah terperosok di celah-celah almari usang. Saya masih memegang kepada kata-kata Profesor Awang Sariyan yang mengatakan bahawa "menulis bukanlah sebagai satu hobi, tetapi menulis adalah kewajipan, menulis adalah amar makruf nahi mungkar." Semoga kita semua mendapat hidayah dan kebaikan daripada-Nya dari sumber yang tidak disangka-sangka. Nasihat saya kepada mereka yang ingin melangkah, langkah lah dengan berani tetapi berhati-hati, belajar menepis tangan-tangan kotor yang cuba menghalang, senyum dan kalau jatuh, bangunlah sendiri ya!
Salam Aidilfitri. Maaf Zahir Batin.
AHMAD SHAKIR BIN SALLEH
UNIVERSITI MALAYA
studentpower.blogdrive.com
Posted at 09:17 pm by Jerung Sakti
Permalink
Sep 25, 2006
PENYELEWENGAN PILIHANRAYA KAMPUS (UNIVERSITI MALAYA) 2006/2007 : SUATU ANALISIS
Saya terkedu. Membisu. Tiada sebutir perkataan terpacul dari bibir. Hati rasa pedih dan sedih seketika. Namun, ada suara kedua dalam diri yang memujuk supaya tabah dan sabar menghadapi penipuan mereka. Ternyata suara kedua begitu pandai memujuk, sekelip mata ada semacam suatu kekuatan mengalir dalam uratku, walaupun tidak bisa menerbitkan senyuman, kalau adapun, hanya senyuman yang tawar seperti biskut tawar. Suasana agak suram, kelihatan ada mata-mata yang sudahpun menumpahkan air mata, tanda kesedihan melihat penipuan yang terang-terangan, tanpa boleh berbuat apa-apa.
Begitulah gambaran kesedihan yang menyelubungi ruang Auditorium Kompleks Perdana Siswa sebaik sahaja keputusan pilihanraya kampus 2006/2007 diumumkan oleh ¡°Ayahanda¡± TNC HEP, yang menyaksikan calon-calon dari Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya (GMUM) hanya berjaya merebut 2 kerusi iaitu di Akademi Pengajian Islam. Selebihnya memihak kepada calon Aspirasi walaupun pada awalnya, maklumat yang diterima memperlihatkan kemenangan yang agak besar oleh calon GMUM. Suatu keputusan yang amat mencurigakan kerana berdasarkan siasatan, menunjukkan calon-calon GMUM telah meraih undi yang besar di kolej-kolej kediaman, sehinggakan kawasan kubu kuat Aspirasi di kolej kediaman ke-12 pun telah berjaya ditembusi. Saya yang menjangkakan GMUM mampu merebut sekurang-kurangnya 10 kerusi, merasa terperanjat sebaik sahaja keputusan diumumkan. Pelbagai persoalan timbul dan bermain di benak saya ketika itu, terutamanya apabila memerhatikan wajah-wajah penjenayah intelektual di depan (Kalam, Mahaganapathy, Wira, Nizam, Shahrom, Rajendran, Razali dll) yang kelihatan tenang, seolah-olah segalanya telah diatur dengan rapi. Mereka merupakan ahli Jawatankuasa Pemilihan MPMUM, dalam masa yang sama bertindak sebagai jentera pusat Aspirasi, maka saya tidak hairan jika mereka memanfaatkan peluang itu untuk memenangkan boneka mereka. Langsung tidak menghairankan saya.
Sistem pilihanraya kampus yang bobrok ini akan tertegak selagimana para penjenayah intelektual masih menerajui menara Hal Ehwal Pelajar. Itulah realiti yang mesti dihadapi oleh para pejuang GMUM, kerana perjuangan menegakkan kebenaran akan ditabur dengan paku-paku, duri, periuk api ciptaan Hal Ehwal Pelajar, selaras dengan penubuhannya yang bertujuan mengekang aktivisme mahasiswa. Pada kali ini, saya akan mendedahkan kepada semua tentang penyelewengan yang telah dilakukan oleh pihak Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya sepanjang musim pilihanraya kampus baru-baru ini. Terlalu banyak kepincangan yang berlaku, namun saya akan cuba menyatakan satu persatu supaya anda semua akan membuka mata luas-luas melihat kezaliman yang berlaku di depan mata.
Ugutan di Kolej-Kolej Kediaman
-
Pada pilihanraya kali ini, pihak HEP telah melakukan taktik kotor seperti tahun-tahun sebelumnya, iaitu dengan menggerakkan pentadbiran kolej-kolej kediaman, yang pastinya diketuai oleh pengetua-pengetua kolej, dengan mengadakan beberapa siri pertemuan khususnya dengan mahasiswa tahun pertama. Pertemuan yang cuba diselindungkan kononnya sebagai agenda mendekati penghuni kolej akhirnya menjurus kepada indoktrinisasi melampau iaitu dengan mengancam mahasiswa supaya hanya mengundi calon Aspirasi, disamping memburuk-burukkan calon selain Aspirasi. Tidak cukup dengan itu, seluruh jentera kepimpinan kolej telah dilantik sebagai SB-SB di kolej yang mengawasi setiap pergerakan warga kolej. Alangkah malangnya boneka-boneka ini yang hanya dipergunakan dengan rakusnya oleh pengetua kolej untuk kepentingan politik sempit mereka. Maruah seorang mahasiswa telah dijual sebegitu murah dengan hamburan wang ringgit, top-up percuma dan sebagainya. Dari mana kos untuk ¡°menyara¡± seluruh jentera mereka ini datang? Faham-fahamlah sendiri.
Matlamat menghalalkan cara
-
Kejahilan dan kesombongan boneka Aspirasi terserlah apabila boneka siswa kolej kediaman ke-12, yang diketuai oleh Saudara Hafiz, telah dengan sewenang-wenangnya naik ke blok asrama perempuan pada lewat malam atas alasan ingin menangkap siswi yang mengedar risalah secara haram. Mereka rupa-rupanya merasakan kolej itu seperti kolej mereka, boleh berbuat sesuka hati sehingga melanggar peraturan kolej mereka sendiri. Bukankah mereka ada tenaga boneka siswi? Kenapa perlu boneka siswa naik ke atas blok asrama perempuan? Kenapa tidak saja diarahkan boneka siswi naik ke atas? Keterlaluan dan bodoh sombong. Itu sahaja label yang boleh saya berikan kepada Hafiz, presiden kolej kediaman ke-12. Apabila ditegur, Hafiz hanya senyum sinis dan mengatakan ¡°Ini kolej aku.¡± Seolah-olah kuasanya lebih besar daripada mentornya, si Anurdin pengetua kolej.
-
Di Kolej Kediaman ke-10, seorang siswi telah diserbu ketika beliau sedang tidur oleh saudari Arie Sakina yang menuduh beliau telah mengoyakkan poster Aspirasi tanpa sebarang bukti yang kukuh. Arie telah memaki hamun siswi tersebut dengan kata-kata kesat seperti ¡°munafik¡± dan sebagainya. Arie juga telah merampas telefon bimbit kepunyaan siswi tersebut tanpa budi bicara. Kes ini telahpun dibawa untuk perhatian Naib Canselor.
Menakut-nakutkan penghuni kolej
-
Di kolej kediaman ke-3, Presiden Kolej telah menelefon setiap penghuni kolej dengan pertanyaan-pertanyaan yang bertujuan menakut-nakutkan mereka, seperti memaksa mereka memaklumkan calon sokongan mereka, sama ada calon Aspirasi atau Gagasan. Mahasiswa tahun pertama khususnya, merasa terkejut kerana umum mengetahui bahawa undi adalah rahsia, tetapi apabila dijawab begitu, mereka dituduh sebagai penyokong Gagasan. Presiden Kolej juga telah memaklumkan bahawa kertas senarai calon Aspirasi akan diedarkan dari bilik ke bilik sehari sebelum hari mengundi. Ini jelas melanggar peraturan pilihanraya kampus yang tidak membenarkan calon bertanding secara berkelompok. Tetapi nampaknya boneka Aspirasi tidak perlu merasa bimbang kerana mereka akan dilindungi oleh bapa ayam mereka, Hal Ehwal Pelajar. Peraturan hanya perlu dikuatkuasakan kepada calon selain mereka, kerana mereka terpelihara daripada sebarang undang-undang.
Menghalang calon selain mereka berkempen di kolej
-
Sekali lagi, pihak pentadbiran kolej, yang diketuai oleh pengetua kolej, telah menimbulkan kerenah birokrasi yang menyebabkan calon-calon selain Aspirasi tidak dapat menyampaikan ucapan manifesto di kolej-kolej kediaman. Jika dibenarkan pun, hanya selama 5 minit, sedangkan calon Aspirasi diberikan ruang seluas-luasnya untuk menyampaikan ucapan manifesto mereka. Suatu ketidakadilan yang jelas serta penyalahgunaan kuasa oleh pengetua kolej yang terang-terangan memihak kepada calon Aspirasi sahaja. Mereka bimbang akan pengaruh calon-calon selain Aspirasi, yang mempunyai mutu ucapan yang jauh lebih berkualiti daripada calon mereka, serta dapat menarik perhatian audiens. Inilah yang cukup ditakuti oleh mereka. Apa yang tambah menjijikkan, di kolej kediaman ke-2 khususnya, pihak kolej telah menipu penghuni kolej dengan mewajibkan mereka turun ke dewan kononnya untuk sesi bersama pengetua dan penyelia kolej, akan tetapi perjumpaan itu telah digantikan dengan manifesto calon Aspirasi. Ini jelas melanggar hak mahasiswa, kerana tiada dalam peraturan yang menyatakan mahasiswa wajib menghadiri majlis manifesto calon. Ia terpulang kepada setiap mahasiswa sama ada mahu menyaksikan atau tidak.
-
Selain itu, pihak kolej telah mengadakan peraturan iaitu pintu pagar kolej kediaman mesti ditutup bermula pada pukul 8 malam dimana semua penghuni kolej tidak dibenarkan keluar kolej selepas waktu tersebut. Sejumlah besar boneka-boneka ini telah dikerah menjadi pak guard tambahan di pintu pagar kolej masing-masing, seolah-olah di Penjara Pudu sahaja lagaknya. Calon-calon selain Aspirasi telah dihalang dan dihalau apabila cuba memasuki kolej untuk meminta kebenaran menyampaikan ucapan manifesto mereka. Alangkah kejinya sikap seperti ini, yang jelas mencabul hak dan peraturan pilihanraya kampus.
Bersambung....
Posted at 11:52 am by Jerung Sakti
Sep 18, 2006
HARI PENAMAAN CALON : PERARAKAN RAKSASA GAGASAN MAHASISWA UM
Alhamdulillah, pagi tadi saya baru sahaja selesai menyertai perhimpunan besar-besaran anjuran GAGASAN MAHASISWA UNIVERSITI MALAYA (GMUM) bersempena hari penamaan calon pada hari ini. Cuaca cukup baik dan segala aksi yang telah dirancang, dapat dilaksanakan dengan lancar. Ratusan mahasiswa yang mendokong idealisme tulen mahasiswa muncul menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap GMUM, malah sanggup bertahan hingga ke tengahari, berbeza dengan kelompok Aspirasi yang bukan sahaja kecil bilangan penyertaannya, malah semakin surut apabila cuaca sudah mula terik. Perhimpunan event GMUM dimulakan di tempat parking kereta yang terletak bersebelahan AMCAL, dimana peserta telah mula membanjiri ruang parking seawal pukul 7.30 pagi lagi, dengan membawa banner masing-masing.
Perhimpunan kemudiaannya telah dimulakan dengan bacaan doa, nyanyian asma ul husna, lagu PMIUM dan lagu rasmi UM yang dinyanyikan dengan penuh bersemangat oleh peserta yang hadir. Seterusnya, saudara Sheikh Umar memberikan taklimat kepada peserta perhimpunan tersebut tentang aturcara serta pergerakan peserta sepanjang event berlangsung. Apa yang menarik pada kali ini ialah perhimpunan GMUM pada kali ini diwarnai dengan kehadiran pelbagai front yang tampil dengan identiti tersendiri. Ahli-ahli PMIUM tampil penuh karisma dengan pakaian yang sopan dan menyejukkan hati, dan mereka telah membentuk gelombang terbesar dalam perhimpunan tersebut. Manakala pendokong GMUM pula tampil penuh bergaya dengan baju rasmi S.W.A.T (Aspirasi Mahasiswa) sambil memakai headband bertulis GAGASAN. Selain itu, terdapat juga wakil-wakil daripada pelbagai persatuan berdaftar di UM, ditambah dengan gelombang mahasiswa yang menggelarkan diri mereka Komuniti Mahasiswa Kerinchi (KMK) serta UMANY.
Selepas peserta perarakan disusun dengan kemas dan teratur, perarakan dimulakan dengan diketuai oleh sebuah motor vespa klasik hijau metalik, diikuti kereta Volkswagen, seterusnya kereta STORM yang membawa barisan pimpinan PMIUM. Barisan seterusnya dipenuhi ahli-ahli PMIUM manakala barisan terakhir dibanjiri para pendokong GMUM. Selawat dikumandangkan oleh peserta perarakan bagi menonjolkan syiar Islam dan mengizzahkan PMIUM, selain memberikan isyarat yang jelas kepada kelompok Aspirasi bahawa, “Islam akan kembali memimpin”. Selawat kemudiannya diselang selikan dengan laungan-laungan keramat seperti “Student Power”, “Gagasan Power”, “Hidup Islam” dan lain-lain, yang diketuai oleh Saudara Nasaie dan Saudara Sheikh Umar, yang berdiri di atas kereta STORM. Satu suasana yang cukup meriah dan hangat yang memperlihatkan partisipasi luar biasa barisan pencinta kebenaran, sambil diwarnai dengan banner pelbagai saiz dan warna. Penyertaan para peserta pada kali ini bukan atas dasar paksaan atau dihantar bagi memenuhkan kuota semata-mata, sebaliknya disertai dengan penuh keikhlasan dan keinginan membara untuk melihat kemenangan besar GMUM dalam pilihanraya kampus kali ini walaupun dicemari dengan pelbagai taktik kotor HEP yang memperkudakan Aspirasi.
Kemuncak perarakan tiba apabila kontinjen mula melalui hadapan Fakulti Sains yang dipenuhi dengan penyokong Aspirasi dimana Saudara Nasaie mula memperhebatkan laungan dan sindiran supaya suatu mesej yang jelas dapat difahami oleh kelompok Aspirasi, bahawa mereka kini berada di ambang kekalahan. Perjuangan yang bersandarkan politik wang, persekongkolan dengan HEP (terutamanya Si Kalam;saya geli hendak memanggilnya “Encik”) akan ranap pada bila-bila masa sahaja. Percayalah. Apapun, saya sejak awal-awal lagi sengaja mengambil posisi di sebelah kiri barisan perarakan supaya dapat mengadap kelompok Aspirasi dan melakukan aksi dihadapan mata mereka. Malah, saya telah menjerit lebih kuat ketika itu sehingga hampir hilang suara sambil memandang penuh tegas kepada beberapa penyokong Aspirasi yang matanya meliar ke arah saya.
Perarakan berakhir apabila tiba di perkarangan Bangunan Peperiksaan, dimana aturcara diteruskan dengan ucapan daripada wakil-wakil mahasiswa pelbagai front. Ucapan yang bersemangat daripada Presiden PMIUM, Ustaz Mohd Nazree Mohd Yunus serta Pengarah Eksekutif GMUM, Saudara Abdullah Mohd Salleh cukup membakar semangat juang para peserta yang hadir. Wakil UMANY tidak kurang hebatnya dengan ucapan ringkas, padat dan padu yang menambahkan kehangatan perhimpunan tersebut. Seterusnya, acara diteruskan dengan nyanyian lagu rasmi GMUM sebelum peserta bergerak ke bahagian bahu jalan sementara menunggu calon-calon idaman melintasi menuju ke Auditorium KPS. Perang laungan bermula sekali lagi dan ditujukan kepada kelompok Aspirasi yang berkumpul di hadapan Jabatan Kimia, sambil wartawan dari pelbagai media mewawancara beberapa pimpinan, termasuk Ustaz Mohd Nazree. Suasana yang memperlihatkan bibit-bibit kemenangan, InsyaAllah.
Suasana dihangatkan lagi apabila satu demi satu calon idaman kelihatan berjalan di seberang jalan menuju ke kawasan penamaan calon. Mereka kelihatan begitu yakin sambil melambaikan tangan ke arah kontinjen GMUM, diiringi bodyguard masing-masing. Mereka lah yang bakal merubah corak kepimpinan mahasiswa ke arah idealisme mahasiswa yang tulen, bukannya mengikut telunjuk orang lain sahaja, seperti yang telah berlaku sejak calon-calon Aspirasi dilantik (mereka tak layak dikatakan memenangi kerana pilihanraya tidak telus) sebagai wakil dalam MPMUM dua tahun berturut-turut. Kebajikan mahasiswa terabai, penyelewengan wang berleluasa di kalangan pegawai HEP kerana mereka yang dilantik sebagai MPMUM sebelum ini telah menjadi perisai yang ampuh terhadap perancangan jahat mereka. Hanya perlu disogokkan dengan sedikit wang, top-up, rokok dan sebagainya dan anda akan melihat lambakan mahasiswa rendah harga diri berpusu-pusu memperhambakan diri kepada “mereka”. Jijik bukan? Inilah realitinya. Kebejatan terus dilindungi, dan mahasiswa kelompok Aspirasi ternyata mendapat penghinaan terbesar dalam sejarah hidup mereka, tanpa mereka sedari (walaupun sudah berkali-kali cuba disedarkan).
Acara kemuncak berlangsung apabila Ustaz Mohd Nazree melepaskan kontinjen konvoi bermotor yang mengiringi kereta STORM mengelilingi UM bertujuan memperkenalkan GMUM kepada seluruh mahasiswa serta menyemarakkan lagi perjalanan pilihanraya kampus pada kali ini. Kibaran bendera berwarna-warni, deruman motor menjadi tumpuan seluruh warga kampus pada hari ini sambil kelompok Aspirasi hanya melopong dan membisu (dan makan asap).
Akhirnya, perarakan dan perhimpunan kemudiaannya terpaksa dihentikan atas saranan Encik Sharif, pegawai keselamatan UM. Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Dzulkhairi diikuti dengan lafaz doa wehdah sambil berpaut antara satu sama lain (ribat) yang diketuai oleh Saudara Sheikh Umar. Peserta bersurai menuju ke KPS untuk melihat senarai calon yang bertanding sementara sesetengahnya beredar dengan urusan masing-masing.
GAGASAN POWER!!!
Ahmad Shakir bin Salleh
Mahasiswa UniMalaya
18/9/2006
Posted at 04:40 am by Jerung Sakti
Permalink
Sep 13, 2006
Kampus semakin tercemar..dengan cengkaman tangan intelektual yang durjana
Sumber : http://unite.blogdrive.com
Tadi saya baru selesai menyertai penyerahan MEMORANDUM TERGEMPAR Mahasiswa Menuntut Pilihanraya Kampus 2006/07 Yang Bebas dan Adil. Majlis berkenaan diselitkan dengan majlis dialog diantara hadirin yang terdiri daripada pelbagai proksi mahasiswa berkesedaran dan dikendali oleh Dato' Siva Subramaniam A/L Nagaratnam sebagai wakil kepada Pengerusi Suhakam sendiri.
Terdapat 8 proksi mahasiswa yang menyertai memorandum berkenaan antaranya adalah:
1. Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS)
2. Malaysian Youth And Democratic Movement (DEMA)
3. Kelab Rakan Islah Malaysia (KARISMA)
4. Food Not Bomb (FNB)
5. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
6. University Malaya Association Of New Youth (UMANY)
7. Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa India (JKMI)
8. Students For Pro-Democracy (Pro-DAM)
Saya selaku pemerhati dalam dialog berkenaan adalah juga merupakan salah seorang daripada aktor-aktor yang pernah mengalami dunia mahasiswa di era pilihanraya yang bebas dan telus dan juga mengalami pengalaman berada dalam dunia gelap demokrasi kampus sejak tahun 2003.
Saya tidak suka menggelar kelompok politik sebagai pro kerajaan dan pro pembangkang kerana saya memandang mahasiswa adalah merupakan sebuah entiti yang matang, bebas serta mempunyai idealisme yang tersendiri serta 'isolated' daripada pengaruh dogma politikus luar yang semestinya menantikan ruang untuk membuat sedikit agenda 'recruitment'. Saya tidak menafikan sebagai manusia dan warganegara Malaysia, setiap mahasiswa akan mempunyai ideologi yang tersendiri berkenaan politik perdana serta menjadikan mana-mana tapak politik luar sebagai sumber inspirasi mereka.
Pada hari ini saya kesal apabila jenayah demokrasi semakin menjadi-jadi dan gejala mahasiswa bacul, bodoh, pak angguk, tiada idealisme, tiada halatuju, makan suap, rendah jati diri, budaya pergantungan kepada tapak-tapak tertentu serta semakin tumpul tahap intelektual mereka.
Mahasiswa kini diugut tanpa mengira apa jua latar belakang serta ada Universiti dan Kolej Universiti yang cuba menghakis terus pengaruh demokrasi apabila hanya ada calon pro HEP sahaja di dalam Kolej Universiti berkenaan. PNGK bagi calon dinaikkan, dimana akhirnya calon yang menyertai pilihanraya hanyalah manusia 'malaikat' yang hanya belajar 24 jam tetapi digesa oleh HEP untuk bertanding. Tidak kurang juga yang diugut oleh HEP dengan penarikan biasiswa dan pembuangan kolej (terutama di UKM, UM dan UPM). Istilah pembuangan kolej di universiti sebegini adalah sama seperti hukuman hudud pancung kepala bagi para mahasiswa yang sejak hari pertama melangkah ke gerbang menara gading itu, dimomokkan dengan budaya patuh dan takut kepada HEP.
Saya kesal apabila terdapat biro pendidikan parti politik tertentu membuat penajaan latihan ilmiah, serta biasiswa kepada mahasiswa 'pointer' cemerlang yang akhirnya diserapkan dengan program 'recruitment' parti berkenaan serta digesa menjadi perwakilan pelajar.
SUHAKAM sendiri berpendapat bahawa kadangkala perlantikan pengawas sekolah lebih demokratik serta ada pilihanraya yang telus. Akan tetapi musibah besar menjelma di kampus-kampus Malaysia apabila usaha uni-polarisasi kuasa politik pelajar dihasilkan serta cuba memusnahkan tradisi 'pressure group' serta budaya 'check and balance' di kalangan mahasiswa. Apakah yang masih tinggal? Hanya pak angguk yang berakademik tinggi menghiasi kerusi-kerusi perwakilan dan hal ini berlaku secara homogenous di seluruh negara. Pak angguk ini tidak akan berperah akal untuk memberi idea kepada pentadbiran universiti mahupun negara kerana mereka 'dibela', diasuh agar jangan melawan atau mengeluarkan idea yang kritikal kerana kesemuanya adalah 'ready made'. Inilah tradisi yang akan membunuh pelapis pentadbiran negara.
Adakah dengan adanya perwakilan pro-student (yang lebih dikenali sebagai pro pembangkang yang radikal) akan memusnahkan agenda universiti? Adakah negara akan hancur dengan adanya group seperti ini? Jawapannya sebaliknya apabila UM kini hampir tiada langsung namanya di pementasan tahap akademik sedunia sejak agenda unipolarisasi massacre berlaku. Saya namakan sebagai 'massacre' kerana pembunuhan besar-besaran terhadap keintelektualan mahasiswa berlaku denga jelaknya serta berperancangan rapi, seterusnya dijadikan sebagai kelompok buta tuli dan pak angguk yang tegar serta amat patuh dengan 'arahan' tertentu.
Kita tidak berjuang untuk menjadi radikal dan tidak mengenang budi. Semua ideologi politik cintakan negara. Semua warganegara berpolitik kerana cintakan negara. Mahasiswa berpolitik kerana cintakan kampusnya. Ideologi politik adalah normal untuk diikuti, tetapi bukan punca kepada keretakan segmen sesama mahasiswa terutama di kolej kediaman.
Saya mengalami sendiri suasana dikotomi pro-pembangkang dengan pro-aspirasi kerajaan. Pengetua kolej kini juga bertindak sebagai ketua jentera Pilihanraya serta menjadikan para penyelia sehinggalah kepada tukang masak sebagai perisik dan pemantau yang dahsyat. Secara luarannya mereka ini adalah sebagai SPR kampus yang semestinya akan bertindak berat sebelah. Pilihanraya di kolej kediaman (bermula di UKM) adalah suatu perkara yang langsung tidak masuk akal. Calon-calon pro-student yang hanya memiliki 5 pencadang pencalonan terpaksa memantau hampir berbelas-belas kolej kediaman untuk meraih undi serta menilai penyelewengan yang mungkin berlaku pada peti undinya. Berbanding dengan pilihanraya di fakulti kerana mereka mudah meninjau kesemuanya kerana mereka adalah wakil fakulti mereka (fakulti mereka satu bukan berbelas-belas). Berbanding dengan wakil daripada kelompok pak angguk, mereka mempunyai beratus-ratus pejuang berani mati yang dahagakan prepaid dan disuap dengan rokok free saban malam yang tegar meninjau serta menjaga peti undi mereka disetiap kolej walaupun si penjaga itu tidak mengenali calon yang mereka jaga itu. Akibatnya bilik mesyuarat di kolej kediaman dijadikan sebagai markas atau pusat untuk si penyeleweng gunakan demi memenangkan calon mereka. Kepada mahasiswa UM yang masih muda, mereka menganggap situasi ini adalah rutin UM. Jawapannya tidak!!! UM telah berubah 180 darjah dan cukup dahsyat.
Agenda perkauman mula ditiupkan apabila setiap parti perkauman mula membawa tunas-tunas mereka beraksi di pentas kampus. Akibatnya pertautan persaudaraan yang telah lama bertaut di kalangan etnik berbeza mulai renggang dan hancur. Ada kolej yang ditiupkan perkauman sehingga seolah didominasi oleh satu kaum yang kononnya telah lama ditindas di muka bumi Malaysia ini.
Bagi Kolej Universiti serta Universiti yang masih baru pula, politik uni-ideologi mula diperkenalkan dan kelihatannya berjaya. Mereka diasuh dan diwar-warkan sebagai pelajar cemerlang dan gemilang sedangkan hidup mereka hanya menjadi penghafal nota kuliah dan Majlis Perwakilan kampus mereka hanya seperti majlis mesyuarat RELA kampung semata-mata. Pada saya mesyuarat RELA lebih aktif dan berhasil tindakan mereka.
Ramai sahabat saya yang pernah menjadi perwakilan pelajar UM, yang belajar sehingga mampu meraih pointer yang amat cemerlang, memegang 2 jawatan besar gerakan mahasiswa Malaysia, tetapi gagal meraih apa-apa anugerah dan pengiktirafan. Momokan pro pembangkang sebagai tak mengenang jasa, tidak akan dapat kerja, ortodoks serta tidak cemerlang akademik adalah salah, kerana kegemilangan mereka telah diselindungkan daripada pengetahuan umum. Tidak pernah rakan-rakan saya (yang telah bekerja) menceritakan majikan bertanyakan "adakah anda pro aspirasi?" semasa temuduga. Mereka katakan bahawa bekerja dalam jentera pilihan raya pro-HEP akan memudahkan mereka mendapat kerja dan akan mudah mengecap kemewahan. Itu adalah mustahil dan pembohongan yang amat nyata. Saban tahun, yang menjadi mangsa doktrin murahan ini adalah pelajar freshies yang mentah tuli dengan isu sebenar.
Pada saya recruitment sesebuah parti adalah untuk mendapat pendokong pelapis yang tegar agenda politiknya mengikut laras-laras 'pengasuhnya'. Namun ironinya, kita melihat bagaimana si penyokong yang kini hanya menyertai jentera pilihanraya pro-HEP semata-mata untuk kekal di kolejnya, hanya inginkan duit kopi dan ingin melancong ke Medan dan China atau tagihkan kereta, rokok dan prepaid. Cukup murahan pelapis politik begini. Pada saya alang-alang mengasuh, biarlah mereka faham apa itu politik yang sebenarnya. Alangkah gagalnya universiti sekarang…
Dalam dialog ini, SMM menggesa agar SUHAKAM memastikan tarikh pilihanraya dianjak ke tarikh yang lebih munasabah untuk memberi ruang melaksanakan kempen dan pemberitahuan tarikh kepada semua lapisan mahasiswa. Saban tahun pemilihan yang berlaku hanya diketahui oleh penghuni kolej kediaman yang telah sedia didoktrin secara kotor. Mahasiswa yang tinggal di luar kampus akan ketinggalan dan tidak turun mengundi. Ini bukan semangat pilihanraya. Ini semangat gilakan kuasa. Saya amat kesal dengan senario yang tidak sihat ini. Moga setiap pejuang demokrasi sabar dan tabah mengahadapi ketumbukan tirani yang bertopengkan intelektual ini. Bertopengkan profesor. Teruskan bekerja.
Muhammad Nuruddin Bashah
President,
University of Thinker [ UNITE ]
Posted at 05:25 am by Jerung Sakti
Permalink
Aug 17, 2006
ANTARA HAK YANG DITUNTUT DAN TANGGUNGJAWAB YANG TERABAI
Kebebasan beragama. Suatu isu yang agak hangat dibicarakan sejak akhir-akhir ini. Ada yang berhujah dengan nada emosi, ada yang terperangkap dengan klausa “kebebasan” yang ditakrifkan dengan takrifan yang tiada aspirasi Islam. Malah ada Muslim yang turut sama menyerang Artikel 11 yang menjadi perisai akidah bangsa Melayu Islam selama ini. Masing-masing terkeliru tatkala membincangkan tentang kebebasan beragama. Apa yang terhasil hanyalah ketegangan di antara bangsa berasaskan sentimen keagamaan, bukannya perkongsian nilai atau terhasilnya rasa hormat menghormati antara agama. Drama ini tidak akan berakhir selagi mana kita tidak meletakkan keutamaan tentang bagaimana melalui isu kebebasan agama ini, dapat diterjemahkan dengan satu resolusi yang memberi manfaat kepada semua bangsa dan agama. Saya percaya bahawa isu ini perlu dibincangkan sehingga mencapai matlamat iaitu, setiap agama perlu kembali menumpukan perhatian ke arah mengembalikan penganut mereka menurut ajaran agama masing-masing. Bukan saling menyerang di antara satu sama lain. Penganut agama Buddha, Hindu, Kristian dan sebagainya tidak boleh menyerang kesucian agama Islam, sebagaimana Muslim juga tidak berhak menyerang kesucian agama Buddha, Hindu, Kristian dan sebagainya.
Saya rasa saya tidak perlu membedah lebih lanjut tentang isu kebebasan beragama yang cuba diperjuangkan oleh kelompok IFC atau kelompok Artikel 11 ini. Saya berpendapat bahawa mereka telah bertanggungjawab menimbulkan kekeruhan terhadap integrasi kaum yang telah berlangsung dengan harmoni sebelum ini. Kenyataan saya ini ada asasnya dan bukan emosi bahasanya. Kerana saya berpendapat bahawa isu kebebasan beragama ini hangat dibincangkan dalam keadaan rakyat Malaysia semakin hari semakin ramai yang menjadi golongan atheis atau free thinker. Tidak timbul soal sama ada Melayu berhak murtad atau tidak kerana perbuatan murtad merupakan jenayah besar dalam Islam. Tiada paksaan memeluk agama Islam, tetapi apabila sudah menjadi Muslim, wajib mematuhi ajaran yang terkandung di dalamnya kerana Islam ada ajarannya tersendiri dan perlu dihormati. Apa yang menjadi persoalannya, mengapa bangsa beragama bukan Islam begitu mengejar hak supaya orang Melayu berhak murtad daripada Islam, sedangkan penganut agama mereka sendiri, semakin hari semakin terkeluar dari agama mereka sendiri? Adakah mereka sedar atau tidak, itulah yang menjadi tanda tanya di dalam fikiran saya. Mungkin nada saya agak kasar, tetapi saya bersedia membuka ruang kepada mana-mana penganut agama lain untuk berbincang bersama-sama saya tentang apakah sebenarnya keutamaan yang perlu diperbahaskan.
Mengapa saya berpendapat sedemikian? Kerana sepanjang pengkajian saya terhadap isu ini, saya telah bertemu dengan ramai rakan saya, sama ada berbangsa Cina atau India, yang mendakwa mereka adalah free thinker. Mereka mengatakan mereka tidak percaya adanya Tuhan, walaupun mereka mengaku keluarga mereka menganut agama Kristian atau Buddha. Kesimpulan awal yang boleh saya terbitkan ialah, mereka mengisytiharkan diri mereka free thinker kerana disebabkan oleh kecetekan pengetahuan mereka terhadap agama mereka sendiri. Kecetekan pengetahuan yang saya maksudkan ialah mengenai konsep Tuhan serta konsep-konsep asas yang ada dalam agama mereka, sehingga menyebabkan mereka menolak terus kepercayaan terhadap agama mereka. Pada pendapat saya, bagi penganut agama Islam, sejauh mana mereka melanggar ajaran Islam, mereka tetap mempercayai kebenarannya, cuma mungkin nafsu yang menyebabkan mereka melanggarnya. Sebagai contoh, jika kita bertemu dengan seorang Muslim yang sedang membuat maksiat, lalu kita bertanya kepadanya sama ada dia hendak masuk syurga atau tidak, pastinya dia akan menyatakan mahu. Maksudnya, dia masih percaya kepada kebenaran, walaupun dia mengetahui dia sedang melanggar apa yang terkandung dalam ajaran Islam. Tetapi tidaklah ke tahap menafikan ketuhanan Allah s.w.t. dan menjadi seorang free thinker.
Tetapi apa yang berlaku kepada rakan-rakan saya menyebabkan saya perlu menulis artikel ini untuk menyeru kepada penganut agama lain, supaya meninggalkan persoalan menuntut kebebasan beragama, sebaliknya menumpukan usaha membasmi “keciciran” penganut agama mereka yang sedia ada. Semua rakyat Malaysia perlu kembali kepada ajaran masing-masing supaya dapat melahirkan Muslim yang berkualiti, penganut Kristian, Buddha dan Hindu yang berkualiti. Apabila setiap penganut agama di Malaysia meletakkan keutamaan sebegini, maka apa yang akan berlaku adalah integrasi yang harmoni dan matang di antara setiap bangsa dan agama. Itulah matlamat yang perlu ditujui oleh semua penganut agama di Malaysia. Soal keistimewaan hak orang Melayu tidak perlu dipersoalkan kerana mereka adalah bangsa pribumi dan majoriti yang perlu dihormati. Malah di dalam Perlembagaan, telah banyak peruntukan yang melindungi penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran masing-masing.
Mungkin kita lupa tentang prinsip pertama yang digariskan dalam Rukunegara iaitu “Kepercayaan Kepada Tuhan”. Prinsip ini menunjukkan bahawa setiap agama perlu kembali kepada ajaran agama masing-masing. Setiap agama ada kepercayaan masing-masing, maka asas kepercayaan kepada Tuhan ini perlu dibina atas landasan sikap saling hormat menghormati, bukan saling menafikan hak dan kesucian kandungan ajaran sesebuah agama. Selain itu, prinsip ini juga menegaskan bahawa negara tidak mengakui sebarang ideologi yang tidak mempercayai wujudnya Tuhan. Ini bermakna bahawa negara tidak mengiktiraf mereka yang mendakwa sebagai atheis ini, yang kebanyakannya berasal dari keluarga yang menganut kepercayaan beragama. Bagaimanakah rakyat yang tidak diiktiraf ini masih berleluasa di kalangan masyarakat kita? Cuba kita fikirkan, ketika kelompok IFC dan Artikel 11 sedang menuntut hak kebebasan beragama melalui permintaan supaya Artikel 11 digugurkan, tetapi mereka lupa bahawa tanggungjawab menjaga penganut mereka daripada “tercicir” telah diabaikan. Bukankah ini satu tindakan kurang bijak?
Saya selaku wakil pihak UNITE ingin menegaskan bahawa isu kebebasan agama tidak perlu menjadi titik pertelingkahan di antara bangsa dan kaum. Apa yang perlu kita sama-sama tangani ialah mengelakkan bertambahnya golongan atheis di dalam masyarakat, kerana usaha ini adalah titik sepunya semua bangsa dan agama ke arah mematuhi prinsip pertama Rukunegara iaitu “Kepercayaan Kepada Tuhan”. Setiap bangsa ada kepercayaan dan kecenderungan yang tersendiri di dalam memilih agama masing-masing. Islam adalah tulang belakang bangsa Melayu, sebagaimana saya yakin bangsa Cina, India dan bangsa lain ada tulang belakang masing-masing. Tidak perlu kita saling mematahkan tulang belakang rakan sendiri, sedangkan tulang belakang kita sendiri sudah lemah dan reput akibat kurangnya kalsium. Begitu juga dengan komitmen dan kecintaan terhadap agama kita. Tiada gunanya kita cuba mencemar atau menggugat komitmen dan kecintaan rakan kita terhadap agama mereka, sedangkan kita sendiri tidak komited mendalami ajaran agama kita sendiri. Sebarang kritikan terhadap artikel ini amat saya alukan. Selamat berfikir.
AHMAD SHAKIR BIN SALLEH,
Setiausaha,
University of Thinker [ UNITE ]
Posted at 08:27 pm by Jerung Sakti
Permalink
Aug 16, 2006
UMNO MASUK KAMPUS : APA YANG TERSIRAT DI SEBALIKNYA?
Alam kemahasiswaan semestinya menjanjikan seribu satu pengalaman yang sukar diperolehi sepanjang hidup bagi mereka yang memanfaatkan sebaik mungkin perjalanan hidup mereka sebagai seorang mahasiswa. Segala sepak terajang, konflik, mehnah dan tribulasi yang mewarnai kehidupan seorang mahasiswa, kesemuanya menyumbang ke arah pembentukan seorang mahasiswa yang matang, teguh jatidirinya, berpandangan jauh, celik dan mampu menjadi golongan check and balance di Malaysia. Mahasiswa cukup sinonim dengan idealisme tersendiri, unggul dan dinamik tanpa dikongkong oleh mana-mana pihak. Perjuangan mahasiswa adalah perjuangan yang tulen, tanpa mengharapkan apa-apa habuan, sebaliknya diisi dengan keikhlasan yang tidak berbelah bahagi.
Jika kita menelusuri kembali sejarah perjuangan mahasiswa terdahulu, mereka dilihat cukup komited mencurahkan segenap tenaga membangunkan masyarakat, terutamanya berkaitan isu-isu rakyat marhaien, yang ditindas dari aspek ekonomi dan sosial. Salah satu contoh terbaik yang saya boleh kongsi ialah bagaimana inisiatif kelompok mahasiswa Universiti Malaya pada era 60-an yang mengorbankan waktu cuti semester mereka untuk melakukan khidmat sosial iaitu membantu membasmi masalah buta huruf. Mereka telah mengambil inisiatif dengan menyewa beberapa buah bas milik universiti untuk turun ke kampung-kampung dan mengajar penduduk di sana membaca, menulis dan mengira, tanpa ada sehelai KKD(Kertas Kerja Dasar) pun. Begitu juga jasa Anwar Ibrahim ketika menjadi pimpinan pelajar di Universiti Malaya, yang telah menggerakkan Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) secara besar-besaran ke seluruh negara suatu ketika dahulu. Apa yang berlaku pada hari ini adalah berlawanan sama sekali, dimana Operasi Khidmat Masyarakat yang dikendalikan pada hari ini, hanya sekadar mahu menonjolkan nama universiti masing-masing dan tidak turun ke grassroot. OPKIM pada hari ini telah disalahgunakan oleh mahasiswa sebagai peluang untuk makan angin, melancong dan bersuka ria. Inilah realiti yang berlaku.
Di universiti, mahasiswa terdedah dengan pelbagai wacana, aliran jalur pemikiran, serta kerencaman budaya yang memerlukan keupayaan mahasiswa menanggapi kesemua cabaran ini dengan persiapan mental yang kuat. Mereka diajar untuk tidak menjadi pak angguk sahaja, tetapi bersedia menilai, mengkritik serta mencipta idea-idea yang segar dan berguna kepada masyarakat. Pihak universiti bertanggungjawab menyediakan segala prasarana yang mampu mengembangkan minda mahasiswa ke arah yang paling optimum. Prasarana di sini bermaksud bukan sahaja meliputi infrastruktur fizikal, bangunan, perpustakaan sahaja, bahkan dasar-dasar universiti juga harus menjurus ke arah pembentukan ini. Mahasiswa perlu dibiarkan subur dengan idealisme mereka, supaya mereka tidak menjadi generasi yang hanya berfikir secara sehala, dogmatik serta tidak bersedia menerima idea luar.
Cukuplah muqaddimah panjang yang saya utarakan sebentar tadi. Niat saya hanyalah untuk menyediakan pembaca sebelum kita memasuki isu utama yang ingin saya bangkitkan ini. Minggu lalu, ketika saya berjalan-jalan di sepanjang gerai-gerai PASKUM[baca : Pasar Malam Konvokesyen Universiti Malaya], saya merasa terkejut tatkala menatap sebuah kain rentang iklan yang bercetak “Pertandingan Scrabble”. Bukan Pertandingan Scrabble yang cuba saya persoalkan, tetapi saya terkesan apabila tercatat “dirasmikan oleh Encik Ahmad Ikmal Ismail, Pengerusi Biro Pendidikan, Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Anjuran MPMUM dan HEP”. Saya tersenyum sinis kerana ini bukan kali pertama pihak HEP mengimport konco-konco UMNO merasmikan event yang diadakan, bahkan sudah tidak larat dikira dengan jari tangan dan kaki. Walaupun majlis itu adalah majlis yang tiada kena mengena dengan perasmi yang dijemput. Apabila melangkah ke Auditorium Kompleks Perdana Siswa pula, saya terus tersenyum melihat tertulis “Kejohanan Silat Gayong Piala TNC ; dirasmikan Datuk Dr. Adham Baba, Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran Malaysia.” Isu UMNO masuk ke kampus-kampus bukanlah suatu isu baru yang mendatangkan kehairanan. Bahkan isu ini telah berulangkali dibicarakan saban tahun, tetapi masih dipandang sepi oleh pihak yang berkaitan. Pihak berkaitan yang saya maksudkan ialah pihak HEP yang diterajui oleh mereka yang terdiri dikalangan penjenayah keintelektualan. Mereka sanggup menjadi tali barut menjahanamkan anak bangsa, dengan mengadakan pelbagai sekatan dan tekanan kepada mahasiswa, supaya hanya mengikut telunjuk mereka. Mereka menggunakan AUKU sebagai senjata utama mencantas idealisme mahasiswa, mengurung kebebasan mahasiswa untuk berfikir dan bergiat aktif dalam lapangan yang lebih luas.
Apa yang saya kesalkan, pihak HEP telah menyalahgunakan penguatkuasaan AUKU yang jelas dilihat melalui tindakan mereka mengimport sebanyak mungkin orang-orang UMNO masuk ke kampus-kampus untuk mendoktrin mahasiswa menyokong mereka. Mereka begitu marah dan sentiasa memastikan tiada orang-orang dari pihak pembangkang masuk ke kampus kerana dikatakan melanggar AUKU. Adakah AUKU ini hanya relevan dilaksanakan apabila tidak mengikut selera mereka? Sebagai mahasiswa sejati, saya berpendapat bahawa mahasiswa pada hari ini, terutamanya ASPIRASI, telah mendapat penghinaan yang terbesar dalam diari kehidupan mereka sebagai mahasiswa, kerana gerakan mahasiswa yang mereka cuba bawa, di bawah nama Majlis Gabungan Mahasiswa Universiti Malaya (MGMUM), telah ditunggangi oleh pihak HEP dengan rakusnya. Mungkin mereka tidak sedar bahawa perjuangan yang mereka bawa adalah perjuangan yang tiada idealisme tersendiri, dikongkong serta hanya menurut segala arahan HEP walaupun dalam perkara yang batil. Saya mengatakan ianya suatu penghinaan kerana hakikat gerakan mahasiswa adalah gerakan yang diterajui oleh kelompok mahasiswa yang berunsurkan akademik, independent serta dinamik tanpa dipengaruhi unsur luar. Hakikat ini perlu difahami oleh semua yang mendakwa mereka membawa perjuangan gerakan mahasiswa.
Fenomena UMNO masuk ke kampus merupakan salah satu strategi halus yang telah dirangka di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sebagai usaha meng’UMNO’kan keseluruhan IPTA di Malaysia. HEP merupakan pintu utama yang membenarkan mereka menjalankan misi secara halal, sekalipun ianya jelas melanggar undang-undang AUKU yang mereka hasilkan sendiri. Kini musim pilihanraya kampus hampir menjengah, maka kita akan dapat menyaksikan pencabulan demi pencabulan terhadap proses pilihanraya yang bakal berjalan. Antara yang mereka sudah biasa lakukan ialah mengugut mahasiswa di kolej-kolej kediaman supaya mengundi calon Aspirasi, jika tidak akan dinafikan hak tinggal di kolej pada sesi akan datang. Pengetua-pengetua kolej pula akan menakut-nakutkan mahasiswa, disamping pihak HEP yang mengancam akan mem”blacklist”kan nama-nama mereka yang mengundi calon selain Aspirasi. Keseluruhan jentera mereka akan digerakkan untuk mengancam mahasiswa dengan nada “tarhib” agar kesemua memihak kepada calon mereka. Persekongkolan di antara pelajar Aspirasi dan pihak HEP(lebih tepat jika saya katakan pihak HEP mempergunakan pelajar Aspirasi, bukan bersekongkol) jelas menyalahi peraturan pilihanraya kampus, yang menyatakan pihak HEP tidak boleh masuk campur dalam proses pilihanraya, kerana mereka hanya perlu mengendalikannya sahaja.
Sebagai seorang yang bergelar mahasiswa, saya selaku pemerhati menyarankan kepada semua sahabat-sahabat mahasiswa supaya menilai sesuatu perkara dengan kebenaran dan keadilan. Sebarang provokasi, tuduhan negatif serta cacian yang dilemparkan terhadap sesuatu pihak perlu diperhalusi dengan bijak. Jangan kita terus mempercayai apa-apa berita yang sampai kepada kita tanpa kita menyelidiknya terlebih dahulu. Sebagai manusia yang cintakan semangat kebenaran dan keadilan, kita seharusnya mengambil peluang untuk mengkaji, adakah benar pertuduhan itu, atau hanya dilemparkan atas motif kepentingan sendiri. Mahasiswa adalah tetap mahasiswa. Jangan sia-siakan title yang anda galas sepanjang berada di universiti. Isu UMNO masuk ke kampus akan tetap berlaku setiap tahun, tetapi anda lah faktor penentu pengembalian kedaulatan sesebuah universiti. Jangan biarkan mereka mencemar keintelektualan yang telah kian terhakis kini. Apa tindakan kita? Teruskan mengkaji dan anda akan menemui kebenaran.
AHMAD SHAKIR BIN SALLEH,
Setiausaha,
University of Thinker (UNITE)
Posted at 02:28 am by Jerung Sakti
Permalink
Aug 15, 2006
FESKUM 06 MELATIH KEUSAHAWANAN DI KALANGAN MAHASISWA?
Berada di Universiti Malaya, saban tahun kita dapat menyaksikan ribuan graduan bergembira meraih segulung ijazah yang diperolehi hanya sekali dalam seumur hidup, setelah didahului dengan kerja keras yang tidak mengenal putus asa. Usia mereka menimba ilmu di universiti selama 3 ke 4 tahun berbayar akhirnya, sebagai pasport utama memasuki alam pekerjaan selepas ini. Saya merakamkan ucapan syabas kepada para graduan yang telah menempuh alam universiti yang serba mencabar ini dan saya mendoakan mereka berjaya dalam lapangan masing-masing.
Apa yang pasti, penganjuran Festival Konvokesyen Universiti Malaya ( FESKUM 06 ) pada kali ini dimeriahkan lagi dengan penglibatan mahasiswa Universiti Malaya dalam bidang perniagaan, iaitu dengan membuka gerai-gerai menjual pelbagai barangan dan perkhidmatan seperti makanan, pakaian dan sebagainya. Gerai-gerai yang dikelolakan mengikut persatuan masing-masing seperti persatuan-persatuan anak negeri, kelab-kelab, kolej-kolej kediaman serta persatuan beridentitikan agama telah menjadi medium yang tepat mengasah kemahiran dan nilai tambah yang mungkin tidak diperolehi di dewan-dewan kuliah. Di samping itu, terdapat juga pihak-pihak luar membuka gerai yang seterusnya menambahkan kerancakan persaingan. Usaha ini merupakan usaha yang positif ke arah melahirkan mahasiswa yang cekap dan mahir dalam bidang keusahawanan, di samping menerapkan akhlak dan nilai terpuji melalui komunikasi yang baik di kalangan peniaga.
Jika kita menyorot kembali penganjuran FESKUM iaitu sejak dahulu lagi, kita dapat melihat bahawa medan FESKUM merupakan landasan yang baik dalam usaha melatih mahasiswa mendalami ilmu-ilmu keusahawanan, kerana jika diamati, kita akan mendapati bahawa proses pembentukan modal insan sebenarnya berjalan seiring dengan proses mahasiswa berinteraksi dengan persekitarannya. Walaubagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, saya dapat melihat bahawa terdapat beberapa persoalan yang wajar dinilai kembali dengan minda yang kritis dan telus, untuk kebaikan bersama. Persoalan utama yang saya ingin lontarkan ialah adakah penganjuran FESKUM pada kali ini bertujuan melatih keusahawanan di kalangan mahasiswa atau menjadi medan bagi pihak universiti mengaut keuntungan yang banyak? Ini kerana menurut tinjaun saya sepanjang minggu sambutan FESKUM, saya menerima banyak respon negatif bukan sahaja dari pihak mahasiswa, bahkan dari pihak luar yang menyuarakan ketidakpuashatian mereka terhadap bayaran cagaran yang mahal dikenakan bagi setiap gerai. Mereka mendakwa bahawa harga yang dikenakan terhadap mereka tidak setimpal dengan kemudahan tapak gerai yang begitu minima. Tiada apa-apa meja atau kerusi tambahan yang dibekalkan, hanya sebuah canopy yang diberikan. Hanya sebuah canopy untuk RM1200. Adakah ianya berbaloi?
Selain itu, mereka juga mengadu bekalan elektrik sering putus dan ini menyukarkan mereka kerana apabila setiap kali bekalan terputus, operasi perniagaan mereka akan terjejas lebih-lebih lagi kepada peniaga yang menggunakan alatan elektrik seperti pengisar dan sebagainya. Ini seterusnya akan menyulitkan pelanggan yang terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan perkhidmatan. Usaha untuk mengembalikan bekalan pula tidak ditangani dengan baik oleh pihak penganjur FESKUM, seolah-olah nasib peniaga tiada kena mengena dengan pihak mereka. Dalam mana-mana pengurusan program sebesar ini, kelalaian pihak penganjur melantik individu menguruskan hal ehwal luar jangkaan seperti ini, merupakan satu kesalahan besar kerana ia membabitkan soal pengurusan yang cekap dan teliti. Jika para peniaga, terutamanya mahasiswa dilayan seperti ini oleh pihak universiti, yang bukan sahaja mengenakan bayaran cagaran yang melebihi sepatutnya, malah tidak menyediakan kemudahan yang setimpal dengan harga yang dibayar. Ke manakah perginya duit tersebut sekiranya tidak dibelanjakan oleh pihak penganjur untuk menyediakan kemudahan di tapak gerai?
Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku? Adakah pihak universiti benar-benar serius dan ikhlas memberi peluang kepada mahasiswa menjalankan perniagaan? Kritikan ini bukanlah bertujuan menjatuhkan kredibiliti pihak universiti, tetapi dilontarkan sebagai suatu pandangan yang perlu diperbaiki agar menepati objektif kedua Universiti Malaya iaitu melahirkan graduan yang berkualiti tinggi. Saranan saya kepada pihak penganjur FESKUM agar dapat mengambil perhatian terhadap isu-isu yang saya bangkitkan ini. Segala kepincangan yang berlaku harus diperbetulkan buat kebaikan bersama. Saya berharap agar penganjuran FESKUM pada tahun hadapan akan dapat dikendalikan dengan lebih baik agar menepati matlamat membentuk mahasiswa yang berkemahiran dalam bidang keusahawanan, walau apa jua latar belakang pengajian mereka.
AHMAD SHAKIR BIN SALLEH,
SETIAUSAHA,
UNIVERSITY of THINKER ( UNITE )
Posted at 05:21 am by Jerung Sakti
Permalink
Jul 18, 2006
RAHSIA DARI MENARA : AUKU - PINDA ATAU MANSUH?
Oleh: Ali Bukhari Amir
11 Julai lalu saya diminta oleh rakan-rakan ‘mangsa Auku’ untuk memberi sedikit ucapan dalam sesi perbincangan mengenai pindaan Auku. Perbincangan itu dianjurkan Presiden Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah.
Moderator perbincangan itu ialah Dr Syed Husin Ali. Hadir sama ialah encik Tian Chua, Hishamudin Rais dan lain-lainnya. Semua orang percaya, perbincangan itu tercetus ekoran desakan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Dato’ Dr Mohd Khir Toyo dalam Mesyuarat Agung badan itu baru-baru ini.
Khir dalam ucapan beliau di Mesyuarat Agung MBM menyarankan Auku dipinda bagi membolehkan pelajar itu menganggotai mana-mana pertubuhan belia yang bernaung di bawah MBM secara sah.
Keputusannya tidak memeranjatkan. Auku bukan dipinda, malah perlu dimansuh terus. Selepas Soh Sook Hwa sebagai pengucap yang pertama mengesyorkan Auku perlu dimansuhkan, maka saya, khatib kedua terus menyarankan sokongan saya tentang hal itu.
Saya menyebutkan sokongan 200% terhadap apa juga usaha dalam memansuhkan akta itu. Sebenarnya, Soh bukan orang pertama yang mengucapkan hal itu. Sebelum Soh diberikan laluan, Dr. Syed Husin Ali telah pun menyatakan kesimpulan awalnya di dalam sehelai kertas ucapannya. Pada isi ke-16, Syed Husin sendiri menyarankan demikian.
"Sebagai matlamat akhirnya Auku perlulah dimansuhkan. Buat permulaan, semua bahagian-artikel yang menjejaskan autonomi universiti dan menjejaskan hak asasi pelajar serta kakitangan akademik, terutamanya pindaan-pindaan yang berkuatkuasa pada 13 Mei 1975 hendaklah dihapuskan segera," kata beliau.
Setidak-tidaknya, tambah Syed Husin, Auku perlu kembali kepada era 1971, iaitu sejak ia mula diperkenalkan.
Jadi, apabila saya mendengar hal itu, saya bertambah girang. Selepas Soh khatam ucapannya, tiba giliran saya berucap. Di akhir ucapan itulah, saya menyokong pandangan Syed Husin dan Soh sekali gus.
Saya cuma bangkitkan satu tema utama yang paling menyayatkan hati saya dalam Auku ini. Iaitu, jelas terkandung di dalamnya satu perenggan yang meminta mana-mana pelajar tidak menyatakan bantahan, pendirian, sokongan kepada mana-mana ahli politik.
Dalam hal ini, sebagai insan yang memilih untuk tidak cenderung terhadap mana-mana parti politik, tentulah hal ini tidak mendatangkan masalah kepada saya. Saya bukan pemimpin politik kepartian atau ahli yang begitu taat kepada mana-mana parti, hinggakan terpaksa atau dipaksa oleh pucuk pimpinan dalam membuat kenyataan untuk menyokong mereka di atas isu-isu tertentu.
Akan tetapi, memang jelas ada peruntukan tertentu yang apabila ditafsirkan, maka Auku itu mendesak serta mengasak mahasiswa untuk memohon kebenaran pemimpin IPT untuk menulis dan mengarang ke media-media. Dalam hal ini, saya jadi cepat naik darah, mengamuk dan meradang.
Darihal apa kejadahnya, maka saya perlu meminta keizinan? Teori-teori yang kita pelajari di universiti yang menyinggah ke jemala kita lazimnya dikunyah hadam sehingga matang dan masak sebelum ia dikeluarkan semula dalam bentuk pertanyaan mulut. Erti di sini, setiap teori yang masuk ke benak kita, tentulah akhirnya ada yang keluar pula.
Setiap yang masuk, ada keluarnya
Apabila saya mempelajari sesuatu atau pun membuat penyelidikan melalui bahan-bahan akademik, tentulah saya temui beberapa fakta yang kadangkala saya rasakan boleh disanggah. Mungkin saya temui sesuatu idea yang saya anggap kurang matang dan masih ada ruang untuk diperbaiki melalui satu bentuk penulisan yang berterusan.
Malangnya, di universiti sekarang tidak begitu. Mereka melihat teori-teori, apatah lagi jika teori dan idea itu berguguran dari langit keangkuhan pentadbiran negara, maka ia harus diterima bulat-bulat. Jangan sesekali dimuntahkan keluar. Telan sahaja.
Mana boleh begitu! Ada juga yang kita kena semak halal-haramnya sebelum kita memakannya. Dan kalau kita makan makanan halal sekali pun, sudah tentulah kita akan ‘mengincit’ atau ‘meninja’ (buang air besar dan kecil) dalam tandas. Maknanya, makanan yang masuk di mulut itu dikunyah mamah, masuk ke perut lalu dihadam.
Habis hadaman, lalu ke tandas juga akhirnya. Sama ada dia seorang raja, Perdana Menteri, Menteri Pengajian Tinggi, Menteri Pelajaran dan dia penggubal Auku sekali pun tentulah dia akan ke tandas jua setelah dia makan dan minum.
Syahadan, adapun ilmu itu demikianlah halnya juga. Jika teori, fakta - data masuk ke dalam kepala lalu dihadam, teori dikunyah mamah, kemudian akal mencernakan idea itu hingga masak serta matang, akhirnya tangan kita akan menaip atau pun ‘meninja’ dan ‘mengincitkan’ idea-idea baru ke tandas persuratkhabaran dan majalah. Itulah prosesnya.
Saya menadah tangan merafakkan sembah kepada sidang pembaca yang terpaksa mengikuti A-Z untuk saya menceritakan jalan-jalan dan laluan pemikiran mengenai idea, hingga terpaksa saya membekalkan contoh seperti makanan yang akhirnya mengirimkan tinja ke tandas. Saya terpaksa berbuat demikian untuk memahamkan pemimpin IPT yang semakin benak ini. Ambillah contoh apa pun sekeliling kita. Setiap ‘input’ ada ‘output’.
Setiap yang masuk tentu ada keluarnya. Setiap yang makan dan minum tentu ada yang akan mengincit dan meninjanya. Setiap teori yang dipelajari tentulah akan lahir pula gagasan baru pula yang mengiringinya. Setiap tesis, tentu ada anti-tesisnya. Ini semuanya merujuk kepada proses kematangan minda sebagaimana layaknya dia sebagai manusia.
Atau kalau kurang jelas, maaf saya bercakap bahasa kelucahan. Setiap benih mani sperma lelaki yang dipancutkan di dalam rahim wanita, secara idealnya tentu melahirkan anak dan zuriat baru. Jika bahasa kelucahan akademik ini pun, orang akademik universiti pun susah memahaminya, saya tidak tahu mahu bicara apa lagi.
Oh ya! Pepatah P. Ramlee ada menyebutkan: "masuk angin keluar asap!" Jadinya, kalau tiap-tiap yang masuk itu tiada dikeluarkan, maka rosaklah badan. Jika makan, tiada meninja, membusung dan memekunglah tinja dalam badan menumbuhkan penyakit.
Jadi, sebab itulah, kalau kita mahu meninja dan mengincit, maka teruslah pergi ke tandas tanpa kita memerlukan keizinan sesiapa pun. Mereka yang menganggap keizinan diperlukan untuk pergi ke tandas adalah gila namanya.
Sebab itu, apabila kita tidak diberi keizinan untuk ‘meninja’ idea di media secara terbuka, maka di universiti kini penuh ‘sampah-sarap’ idea yang ditinjakan di merata-rata seperti surat layang dan sebagainya. Jikalau keizinan tidak diperlukan, maka pelajar akan meninja idea secara terhormat. ‘Tandas’ idea seperti surat layang tidak diperlukan lagi.
Apa lagi yang boleh dilakukan? Mahu meninja dan memberakkan idea secara sah, tandas idea tidak lagi disediakan dan keizinan meninja itu diperlukan dalam tempoh yang lama pula. Pihak universiti bukanlah ikhlas sangat untuk memberi laluan terhadap proses meninja ini. "Busuk!" kata mereka.
Menyatakan Tauhid setelah melihat alam
Disebut di dalam al-Quran bahawa Allah adalah Tuhan kepada seluruh alam. Nabi Ibrahim yang masih kecil pun pada mulanya menganggapkan cakerawala, bulan dan suria sebagai tuhannya, sehinggalah baginda mendapat kebenaran sejati mengenai Tuhannya.
Kemudian, Ibrahim menyatakan pendiriannya dengan jelas: "Tuhanku ialah tuhan yang telah menciptakan seluruh alam ini." Menyatakan pendirian Tauhid ini memanglah ada disebutkan sebagai dialog insan-insan tertentu di dalam al-Quran. Allah merakamkan semua ini untuk menunjukkan bahawa pendirian ini jangan sesiapa pun menahannya.
Kalakian, dalam ramai pemerintah, adalah juga seorang penguasa yang zalim lagi menindas adanya. Fir’aun namanya. Suatu hari, dia mahu menewaskan Musa dan Harun.
Lalu dikerahnya barisan ahli sihir untuk berdepan dengan kedua-dua nabi ini. Hal ini ada diceritakan dalam surah al-A’raaf ayat 120 hingga 123. Tuan-tuan boleh membaca kisah ini di sana. Pendek cerita, tewaslah sihir mereka apabila merempuh mukjizat Musa.
Ahli-ahli sihir ini akhirnya mengambil langkah Ibrahim a.s dan orang-orang soleh terdahulu, iaitu apabila mereka melihat sahaja kekuatan alam ini maka mereka bersembah sujud kepada Tuhannya, iaitu Allah s.w.t. Mereka menyebutkan bahawa mereka beriman kepada Tuhan Musa dan Harun.
Apa yang menariknya, di dalam surah al-A’raaf ayat 123 itu, Firaun memutarkan ‘firman’ kurang lebih begini: "Apakah kamu semua beriman, sebelum meminta keizinan daripadaku?"
Maknanya, Firaun telah pun menyekat pendirian ahli-ahli sihir untuk menyatakan Tauhid. Sekatan itu wujud ketika Firaun berkata, bahawa dia berhak mengizinkan mereka untuk menyatakan pendirian Tauhid tersebut.
Hal ini amat dimurkai Tuhan. Sekatan-sekatan ke atas pendirian Tauhid ini wujud juga dalam tradisi kafir musyrikin Quraisy Mekah ketika pihak elit atasan menyeksa para hamba mereka yang beriman terhadap ajaran Muhammad s.a.w. Semua ini adalah sekatan yang sebenarnya tidak diperlukan.
"Jadinya," saya meneruskan hujah, "samada anda bersetuju atau tidak, maka saya ingin menyatakan di sini bahawa Auku sebenarnya, adalah khazanah warisan Firaun yang diamalkan oleh para pemimpin universiti, khususnya HEP."
Hadirin ketawa apabila mendengar hujah saya panjang lebar. Dewan Mesyuarat di Tingkat 4, Parlimen itu memuatkan kira-kira 40 orang lebih daripada pelbagai pertubuhan mahasiswa, NGO-NGO termasuk seorang NGI.
Selepas saya duduk, Dr Syed Husin mengulas sekilas: "Sebenarnya, semua agama membantah kezaliman, bukan Islam saja. Cuma, saya mahu tambah sedikit. tentang Auku warisan Fir’aun. Saya setuju. Bahkan, ia memang diwujudkan oleh ‘Firaun besar’ dengan kerjasama ‘Firaun kecil’ pada ketika itu.
Secara tersirat, ‘Firaun besar’ yang dinisbahkan itu ialah Menteri Pelajaran ketika era 70-an, sementara ‘Firaun kecil’ yang dimaksudkannya ialah Naib Canselor Universiti Malaya pada tahun-tahun pergolakan dan drama perselingkuhan itu berlaku.
Saya mendapat tahu perkara itu apabila terdengar sampukan Isham Rais mencelah antara bilah-bilah ungkapan ucapan Dr Syed Husin tadi. Kemudiannya, saya menyatakan bahawa idea memansuhkan Auku mustahil terlaksana dalam keadaan kerajaan tak pernah ikhlas kepada mahasiswa. Contohnya, ISA7 yang sehingga kini terabai pendidikannya.
Cuma satu jalan. Kepung Parlimen dan paksa MP memansuhkannya tanpa syarat!
Posted at 07:12 pm by Jerung Sakti
Permalink
Jul 1, 2006
Anak Muda Melayu Islam...Dimana silapnya?
Pada hari ini, saya ingin menceritakan serba sedikit pengalaman saya yang merupakan salah satu kupasan yang boleh mengajak sahabat sekalian berfikir sejenak tentang permasalahan yang berlaku di sekeliling kita. Pagi semalam, saya telah menemani rakan saya pergi ke mahkamah majistret untuk menyelesaikan kes trafik, iaitu kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen yang hidup[baca:lesen mati]. Ini adalah kali kedua saya menemani beliau ke mahkamah majistret, kerana ketika beliau menghadap mahkamah pada kali yang pertama, beliau menghadapi masalah kekurangan wang untuk membayar denda, maka kes itu telah ditangguh ke hari ini. Cuaca yang baik dan cerah pada pagi ini seolah-olah mengalu-alukan kedatangan kami untuk melapor diri di mahkamah, dan kira-kira pada pukul 9 pagi, kami tiba di mahkamah majistret, iaitu hampir sejam lewat daripada waktu yang diarahkan.
Apabila berbicara tentang mahkamah, kita seharusnya mengetahui bahawa mahkamah merupakan tempat dimana seseorang itu mendapat keadilan berdasarkan undang-undang yang telah sedia ada. Di Malaysia, Mahkamah Persekutuan merupakan mahkamah tertinggi dan mahkamah terakhir untuk membuat rayuan. Ini kerana sistem kehakiman di Malaysia adalah terbahagi kepada dua iaitu mahkamah tinggi dan mahkamah rendah. Mahkamah-mahkamah rendah termasuklah mahkamah majistret dan mahkamah seksyen, manakala yang tinggi adalah mahkamah tinggi di Semenanjung dan Sabah dan Sarawak serta Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Mahkamah Persekutuan pada awalnya dikenali sebagai Mahkamah Agung tetapi digantikan selepas 24 Jun, 1994. Sistem Kehakiman di Malaysia adalah melibatkan undang-undang sivil, manakala Mahkamah Syariah pula akan mengadili perkara berkaitan dengan undang-undang Islam. Demikian lah serba ringkas tentang struktur institusi kehakiman negara kita, sebelum saya menjurus kepada beberapa cetusan seterusnya.
Berbalik kepada cerita tadi, apabila kami tiba di mahkamah, suasana sudah agak bising kerana kelihatan agak ramai orang sudah berada di ruang luar bilik perbicaraan kes. Kami masuk dan mengambil tempat duduk di hadapan sekali, dan sementara menunggu ketibaan hakim, kami berbual tentang beberapa perkara. Saya mengambil peluang ini untuk mengamati suasana di dalam bilik perbicaraan, melihat ragam manusia yang pelbagai. Ada yang kelihatan resah, ada yang hanya berdiam diri, ada yang sedang membelek fail, dan ada juga yang sedang berurusan dengan polis. Sementara itu, barisan pendakwaraya di hadapan sedang mengatur dan menguruskan dokumen-dokumen berkaitan perbicaraan. Mereka kelihatan serius tetapi mesra berinteraksi sesama mereka, sesekali memanggil OKS(orang kena saman) datang ke hadapan. Agak lama juga sidang mahkamah menunggu ketibaan hakim, iaitu kira-kira sejam.
¡°Dewan, bangun!¡± seru salah seorang pendakwaraya(mungkin) berketurunan India sebagai isyarat ketibaan hakim. Kami semua berdiri sebagai tanda hormat kepada hakim, seorang wanita Melayu yang agak lawa, berumur lingkungan 25 ke 30 tahun. Perbicaraan bermula, dimana pesalah dipanggil ke hadapan dan pendakwaraya membacakan pertuduhan satu persatu, dan kemudiannya pesalah boleh mengemukakan rayuan kepada hakim untuk dipertimbangkan. Prosedur yang biasa dalam sesebuah mahkamah majistret bagi kes-kes kesalahan trafik. Dalam banyak-banyak pertuduhan, saya merasa terkesan dengan kes salah seorang tertuduh, seorang perempuan Melayu yang telah disaman kerana telah memandu kereta dalam keadaan mabuk pada waktu malam. Salina binti Ibrahim (bukan nama sebenar) datang ke mahkamah dengan berpakaian agak seksi dan semestinya tidak menutup aurat bertemankan seorang rakannya, yang juga berpakaian sealiran dengannya. Setelah pertuduhan dibacakan, hakim telah menyoal perempuan itu dengan pelbagai soalan, yang saya kira cukup tegas. Antara soalan yang masih saya ingat ialah ¡° Bagaimana kamu boleh mabuk pada malam itu? ¡±, ¡° Bukankah kamu ni orang Islam? ¡±, ¡° Selain kamu orang Islam, bukankah kamu tahu bahawa tidak boleh memandu dalam keadaan mabuk? ¡±. Apabila diajukan dengan tembakan soalan tersebut, Salina menjawab, ¡° Maafkan saya tuan hakim, saya sebenarnya telah pergi ke function kawan saya, orang Cina. Saya dipaksa minum pada malam tu. Saya menyesal dengan perbuatan saya. Harap puan dapat ringankan denda yang dikenakan.¡± Jawapannya sungguh tidak boleh diterima. Bagaimana pula dia boleh mengatakan dia dipaksa minum arak pada malam tu. Adakah kawannya telah memegang badannya, membuka mulutnya dan kemudian menuangkan arak kedalamnya, sepertimana hendak memaksa seorang bayi memakan ubat? Alasan yang tidak munasabah.
Mungkin hakim, bahkan semua dalam mahkamah tidak boleh menerima alasannya yang tidak relevan itu. ¡° Kamu kata kamu terpaksa?¡± hakim cuba mendapatkan kepastian. ¡° Ya puan, saya terpaksa. Saya berjanji tak akan buat lagi. Ini adalah kali terakhir, saya berjanji tidak akan minum lagi. Ini adalah kali kedua, saya tidak akan ulangi lagi. ¡± ¡° Kali kedua? Maksud kamu ini adalah kali kedua kamu ditangkap atas kesalahan yang sama?¡± soal hakim lagi. ¡° Ya puan.¡± ¡° Saya masih belum nampak bahawa kamu menyesal dengan perbuatan kamu ni, sebab dari apa yang kamu cakap tadi, kamu telah pun melakukan perbuatan ni dua kali.¡± ¡°Saya betul-betul menyesal puan. Saya berjanji tak akan ulangi lagi. Saya dah serik puan. Saya mintak jasa baik puan tolonglah ringankan hukuman ni.¡± Suasana hening sebentar, dimana semua mata tertumpu pada interaksi antara Salina dan puan hakim. Pertembungan yang memberi ruang kepada hakim untuk berdakwah, walaupun kesannya mungkin tidak memberi dampak. Apapun, puan hakim tersebut telah pun melangsaikan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar nya melalui kedudukannya sebagai pembuat keputusan. ¡°2 hari penjara dan denda sebanyak seribu ringgit¡±, putus sang hakim akhirnya.
Apa yang menyedihkan saya ialah baru sahaja hakim mengumumkan keputusan, perempuan itu menoleh kebelakang sambil tersenyum sinis, mukanya langsung tidak menggambarkan kekesalan. Jelas bahawa sebentar tadi hanyalah drama semata-mata, iaitu bertujuan supaya denda dapat dikurangkan. Riak wajahnya mempamerkan kepuasan kerana telah berjaya memujuk hakim mengurangkan hukuman terhadapnya. Ketika itu, apa yang bermain di benak saya, ialah sejauh manakah sistem perundangan sekarang mampu menyelesaikan permasalahan jenayah? Kerana apa yang telah saya saksikan sebentar tadi, merupakan salah satu realiti bahawa manusia kini sudah TIDAK TAKUT untuk melakukan kesalahan, kerana undang-undang itu sendiri tidak mampu mengawal dan memperbetulkan mereka. Apa yang berlaku di depan mata saya sebentar tadi adalah seorang wanita Islam yang sudah begitu jauh dari Islam, tidak merasa kesal dan bersalah(dalam erti kata sebenar) apabila dibicarakan dalam mahkamah. Dia hanya akan cuba meloloskan diri dengan menampilkan lakonan drama di mahkamah. Saya termenung agak jauh memikirkan bahawa sememangnya manusia perlu kembali kepada hukum Allah, kerana ternyata sistem perundangan yang dicipta oleh manusia, tidak akan mampu menyelesaikan permasalahan manusia. Sistem pada hari ini, ternyata gagal memenuhi dan mengembalikan fitrah manusia yang pada asasnya, suka akan kebaikan. Kebaikan kini tidak dapat mengetuk jiwa-jiwa manusia, lantaran kegagalan manusia sendiri dalam mengenalpasti saluran yang tepat. Islam sejak dahulu lagi, merupakan saluran yang tepat untuk memimpin manusia ke arah kebenaran dan kebaikan, kerana kedatangan Islam adalah menepati fitrah manusia itu sendiri
Mungkin satu persoalan yang perlu difikirkan bersama iaitu mengapakah manusia pada hari ini sudah tidak takut lagi kepada Penciptanya? Adakah memang sudah ditakdirkan bahawa umat Islam di akhir zaman ini merupakan umat yang rosak hubungannya dengan Allah? Segalanya berbalik semula kepada hakikat bahawa manusia pada hari ini tidak mengenali diri mereka dan juga Pencipta mereka. Mereka mungkin mengetahui serba sedikit tentang Islam dari perspektif adat kerana menganggap Islam itu adalah agama bagi orang Melayu, maka mereka menganggap kemasukan mereka pada Islam adalah kerana faktor mereka adalah orang Melayu, seterusnya tiada rasa kecintaan dan penghargaan mereka bahawa Islam adalah agama yang syumul. Perasaan ini kemudiannya apabila diadun dengan faktor kurangnya penekanan tentang nilai-nilai Islam oleh ibu bapa menyebabkan Islam pada pandangan mereka, adalah suatu agama yang hambar dan tidak memberi apa-apa kesan terhadap perubahan hidup mereka. Islam lebih dilihat sebagai suatu label kepada mereka, yang membezakan antara mereka dengan kaum-kaum yang lain. Ditambah lagi dengan asakan oleh sekeliling, baik media massa mahupun saluran lain, menyebabkan mereka menganggap Islam itu tidak lebih dari satu item yang hanya berguna sebagai pengenalan diri dan bangsa, atau sekadar diperlukan untuk mengisi borang-borang.
Berdasarkan pengamatan saya, dalam konteks di Malaysia, saya melihat bahawa ruang untuk mempromosikan keindahan dan kesyumulan Islam amat terhad, dan jika ada pun, adalah sekadar melepaskan batuk di tangga. Penyiaran rancangan-rancangan televisyen berunsurkan islamik hanyalah diolah dalam bentuk yang terlalu moderate sehingga menenggelamkan keberkesanan mengetuk jiwa-jiwa manusia. Format yang agak lapuk, konvensional ini membuatkan ianya hanya sesuai untuk golongan tua, sedangkan jiwa-jiwa muda ini tidak berselera untuk sekurang-kurangnya meluangkan setengah jam pun untuk mendengar tajuk yang dikupas. Inilah yang saya maksudkan sebagai melepaskan batuk di tangga. Kerana itulah saya menganggap bahawa telah menjadi suatu keperluan yang mendesak untuk mahasiswa Islam memenuhi kelompangan ini, dengan menceburi bidang penyiaran media, supaya dakwah Islamiyah dapat direncanakan melalui platform yang berkaitan. Biarlah mereka yang sedar diri menggantikan tempat golongan yang tak sedar diri ini yang hanya menambah barah dalam permasalahan sosial semasa.
Baru-baru ini saya telah menghadiri suatu kuliah maghrib yang disampaikan oleh Al Fadhil Al Ustaz Masridzi bin Sat, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID). Beliau merupakan seorang pendakwah yang amat berpengalaman, iaitu hampir 15 tahun menceburi bidang dakwah secara aktif. Beliau telah menceritakan serba sedikit pengalaman beliau dalam arena ini, sebagai suatu ketukan kepada hadirin bahawa usaha dakwah ini bukanlah suatu omongan kosong, bahkan sebagai suatu sintesis terhadap teori-teori yang selama ini membeku didalam kepala. Beliau menyelar kebanyakan kita, yang tidak mahu turun padang, menyingsing tangan menangkis serangan akidah yang dilancarkan kepada kelompok anak muda Malaysia, sebaliknya hanya terperuk di kampus, sedangkan disekeliling kita terlalu ramai sasaran dakwah yang begitu dahagakan belaian insan yang boleh memimpin mereka ke jalan kebenaran. Mereka perlukan bimbingan, bukannya labelan dan disisih dari masyarakat. Apabila kita menganggap mereka sebagai orang-orang yang tersalah langkah, dan bukannya golongan fasik, maka sebenarnya kita telah membuka suatu pintu interaksi harmoni antara kita dan sasaran, bukannya satu tempelakan kepada sasaran, yang hanya akan membuatkan mad'u kecil hati dan merajuk dengan sikap pendakwah. Terlalu banyak bongkaran yang dibuat oleh Ustaz Masridzi untuk diceritakan, namun apa yang pasti, masih terdapat tembok besar China antara pendakwah dan sasaran dakwah yang perlu dipecahkan. Serangan akidah makin bertambah, apakah kita mahu disengagement juga bertambah?
Senario yang saya perlihatkan kepada sahabat pada awal penulisan tadi, merupakan suatu pencetus untuk kita berfikir, bahawa keterhakisan identiti bangsa Melayu sebagai kaum utama yang sinonim dengan Islam telah berada di tahap yang amat membimbangkan. Nilai dan jatidiri telah beransur hilang, yang tinggal hanyalah Islam di kad-kad pengenalan, borang biodata diri dan pelbagai borang lain. Pada hari ini kita akan melihat hilangnya malu manusia untuk melakukan perbuatan yang bertentangan dengan Islam, dan dalam masa yang sama, mengaku bahawa mereka adalah Muslim. Pelik bukan? Inilah realiti.
Saya pasti, bukanlah sekali dua hakim menyelesaikan kes kesalahan trafik disebabkan memandu dalam keadaan mabuk, bahkan mungkin hakim telahpun menyaksikan lambakan anak muda MELAYU ISLAM yang dihadapkan atas kesalahan yang sama. Saya juga pasti bukan sedikit anak muda MELAYU ISLAM yang ditemui krew Edisi Siasat dan Bongkar di ceruk-ceruk lorong mati dan di pusat-pusat hiburan dan pelacuran. Sedangkan kita mahasiswa Islam masih lagi mementingkan diri sendiri di kampus, kononnya tugas mereka hanyalah belajar, dan bukannya berinteraksi dengan permasalahan sekeliling. Sudahlah tidak membantu, malah masih lagi menyokong kelompok mahasiswa yang membawa doktrinisasi hedonisme melampau, dengan alasan bahawa menyokong kelompok yang memperjuangkan Islam di kampus hanya akan menyebabkan hilangnya tempat di kolej kediaman, dilabel, dicop sebagai pembangkang dan sebagainya. Begitulah kejayaan sistem kapitalisme dalam membentuk robot-robot yang tidak berhati perut, mementingkan diri sendiri, materialisme dan perut semata-mata. Hilangnya semangat jihad untuk mempertahankan kesucian akidah kerana dunia ini telah menenggelamkan mereka daripada berfikir untuk Islam tercinta.
Adakah anda juga mahu tergolong dalam golongan ini? Fikir-fikirkanlah.
¡° Selamat Menjiwai dan Berfikir¡±
Jerung Sakti
Seksyen 14 Petaling Jaya
1 Julai 2006
4.00 petang
Posted at 01:05 am by Jerung Sakti
Permalink
|
|
|