Assalamualaikum sahabat-sahabat yang saya rindui sekalian. Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Salam Aidilfitri kepada semua, khususnya pengunjung blog ini yang meluangkan masa melawat rumah saya yang sudah sekian lama terbiar hingga hampir dimakan anai-anai. Alhamdulillah, kita masih diberikan peluang melata di muka bumi di atas satu matlamat mengabdikan diri kepada-Nya, dalam apa jua bentuk sekalipun. Medan amal dan bakti terbuka luas bagi sesiapa yang ingin merebutnya, menggunakan apa jua alat dan mekanisme. Bagi saya, medan blog ini merupakan hanya sekelumit usaha untuk bertukar-tukar idea dan buah fikiran dengan para pengunjung blog yang saya pasti terdiri daripada kalangan pencinta ilmu dan matang pemikirannya.
Baru-baru ini, saya ada menerima kiriman SMS daripada seorang sahabat baik saya yang menanyakan kepada saya bagaimana hendak menjadi penulis yang baik seperti saya (katanya). Beliau berminat untuk menceburkan diri dalam bidang penulisan, dan meminta saya membantunya kerana beliau sudahpun mempunyai minat dan kesedaran. Beliau juga menceritakan kepada saya bahawa beliau pernah mencuba menulis sebuah cerpen dan telah meminta seorang penulis mengkritik penulisannya, dan apa yang beliau perolehi selepas itu adalah kritikan yang hampir membuatkannya putus asa. Saya merasa amat gembira atas kesediaannya untuk menulis secara serius, menyedari bahawa saya pernah bermula dari "kosong" sebagaimana beliau sekarang, hinggalah pada hari ini, tidak menjadi masalah bagi saya untuk menulis dengan baik. Resepinya tetap sama, iaitu MINAT, MASA, KESUNGGUHAN.
Saya masih ingat lagi pengalaman ketika di bangku sekolah menengah dahulu, dimana subjek Bahasa Melayu merupakan subjek paling membosankan, lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan penulisan. Apabila tiba waktu subjek BM, saya akan memikirkan 1001 helah untuk melepaskan diri daripada menyerahkan tugasan kerja sekolah yang diberi, kerana saya jarang menyiapkannya. Antara taktik yang pernah saya gunakan ialah setiap kali guru saya mengarahkan kami menyerahkan tugasan (kebiasaannya ketika hampir tamat kelas), saya akan menyelinap keluar menuju ke tandas sehingga guru saya keluar meninggalkan kelas. Kedudukan saya di hujung belakang, bersebelahan pintu belakang kelas memudahkan saya menghilangkan diri pada saat-saat mencemaskan itu. Nasib saya selalunya baik kerana guru saya jarang memeriksa siapa yang tidak menghantar tugasan. Itulah yang berlaku hampir sepanjang tahun ketika saya di tingkatan 3, sehinggakan buku karangan saya hanya tertulis beberapa karangan sahaja. Markah BM pula selalunya tidak melebihi markah subjek BI, hanya cukup-cukup makan melepasi gred A. Mujurlah saya mendapat A dalam subjek BM dalam Penilaian Menengah Rendah.
Pada pendapat saya, apabila saya memikirkan kembali dan menilai pengalaman saya mempelajari BM di sekolah dahulu, saya beranggapan bahawa sistem pendidikan BM di negara kita gagal bukan sahaja dari sudut falsafah, tetapi fokus juga kelihatan kabur dan apa yang diketahui oleh pelajar ialah mereka perlu meraih gred A dalam subjek BM, sebagaimana subjek Matematik, Geografi dan lain-lainnya. Maka subjek BM turut mengikut jejak subjek-subjek lain, dimana ianya akan diajar secara taktikal, strategi, bagaimana mendapat markah banyak, apakah senarai kesalahan yang perlu dielakkan dan bukannya mengarahkan pelajar ke arah penyuburan kecintaan mereka terhadap bahasa mereka sendiri. Mereka diajar untuk menulis untuk peperiksaan, bukannya menulis untuk mengikat ilmu pengetahuan. Mereka juga diasak untuk menulis dengan baik, dalam keadaan mereka jengkel dengan budaya membaca dan cintakan ilmu, kerana penulisan yang kosong akan datang dari minda yang kosong.
Melangkah ke universiti, barulah saya mula menyedari kepentingan menulis dan manfaatnya yang sangat besar bukan sahaja kepada diri sendiri, bahkan kepada orang disekeliling. Menulis bukanlah bermakna kita perlu mengejar standard penulis-penulis handal seperti A. Samad Said, Shahnon Ahmad dan sebagainya, tetapi cukuplah penulisan kita boleh difahami dan bernas isinya, disamping tidak mengabaikan beberapa teknik supaya penulisan tidak menjadi terlalu mendatar dan membosankan. Seperti yang telah saya nyatakan tadi, kualiti penulisan boleh ditingkatkan melalui MINAT, MASA DAN KESUNGGUHAN. Itu sahaja resepinya. Tidak lupa juga ucapan penghargaan kepada 2 orang mentor penulisan saya yang berjasa besar terhadap peningkatan saya dalam bidang penulisan blog dan penulisan ilmiah, iaitu mentor utama saya, saudara Muhammad Nuruddin Bashah, dan mentor saya secara tidak langsung, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Mereka berdua merupakan penulis yang progresif dan musleh melalui blog masing-masing, dan saya sedang menuruti jejak langkah mereka untuk menjadi seorang penulis yang berjuang melalui mata keyboard, membaiki masyarakat secara komprehensif. Apa yang mungkin akan membantutkan usaha ini adalah sikap saya sendiri. Jika saya malas, tandus minat terhadap usaha ini serta kurang kesungguhan, maka itulah kezaliman yang telah saya timpakan kepada diri sendiri dan bukannya salah orang lain.
Ada segelintir mulut-mulut picisan yang mengatakan bahawa penulisan di blog merupakan usaha yang tidak berfaedah dan tidak mampu mengubah apa-apa, apatah lagi mengubah mentaliti, sikap dan pemikiran masyarakat yang serba caca merba pada hari ini. Mulut-mulut yang berkata sedemikian seolah-olah memandang bahawa hasil merupakan satu-satunya justifikasi dalam berbuat sesuatu. Jikalau Rasulullah mempunyai mentaliti sedemikian, maka mustahil Islam dapat disebarluaskan ke seluruh pelusuk dunia, kerana perjuangan yang mempunyai matlamat yang jelas tidak bermakna akan gagal seandainya tidak membuahkan hasil, tetapi ia akan tetap berjaya selagimana segala perancangan itu menurut jalan yang telah digariskan dan tidak sesekali terseleweng dek kegopohan meraih hasil. Masyarakat akan selama-lamanya terpisah daripada kebaikan selagimana kita, yang bukan sahaja tidak mahu menghulur tangan, bahkan mencantas tangan-tangan lain yang mahu menjengah ke tengah masyarakat.
Walau apa pun, saya merasa gembira dengan semangat yang ditunjukkan oleh sahabat saya itu (semoga Allah memudahkan urusannya) dan saya yakin masih ramai lagi di luar sana yang mempunyai potensi dan bakat untuk menulis ke arah kebaikan, tetapi tidak disedari dan tidak diberikan peluang. Mereka mungkin masih seperti saya suatu ketika dahulu, tidak menyedari bahawa penulisan adalah ibarat pisau yang tajam, tetapi tidak pernah digunakan untuk memotong daging kambing, sehinggakan pisau itu pudar dan tumpul ditelan masa, malah terperosok di celah-celah almari usang. Saya masih memegang kepada kata-kata Profesor Awang Sariyan yang mengatakan bahawa "menulis bukanlah sebagai satu hobi, tetapi menulis adalah kewajipan, menulis adalah amar makruf nahi mungkar." Semoga kita semua mendapat hidayah dan kebaikan daripada-Nya dari sumber yang tidak disangka-sangka. Nasihat saya kepada mereka yang ingin melangkah, langkah lah dengan berani tetapi berhati-hati, belajar menepis tangan-tangan kotor yang cuba menghalang, senyum dan kalau jatuh, bangunlah sendiri ya!
Salam Aidilfitri. Maaf Zahir Batin.
AHMAD SHAKIR BIN SALLEH
UNIVERSITI MALAYA
studentpower.blogdrive.com