Kebebasan beragama. Suatu isu yang agak hangat dibicarakan sejak akhir-akhir ini. Ada yang berhujah dengan nada emosi, ada yang terperangkap dengan klausa “kebebasan” yang ditakrifkan dengan takrifan yang tiada aspirasi Islam. Malah ada Muslim yang turut sama menyerang Artikel 11 yang menjadi perisai akidah bangsa Melayu Islam selama ini. Masing-masing terkeliru tatkala membincangkan tentang kebebasan beragama. Apa yang terhasil hanyalah ketegangan di antara bangsa berasaskan sentimen keagamaan, bukannya perkongsian nilai atau terhasilnya rasa hormat menghormati antara agama. Drama ini tidak akan berakhir selagi mana kita tidak meletakkan keutamaan tentang bagaimana melalui isu kebebasan agama ini, dapat diterjemahkan dengan satu resolusi yang memberi manfaat kepada semua bangsa dan agama. Saya percaya bahawa isu ini perlu dibincangkan sehingga mencapai matlamat iaitu, setiap agama perlu kembali menumpukan perhatian ke arah mengembalikan penganut mereka menurut ajaran agama masing-masing. Bukan saling menyerang di antara satu sama lain. Penganut agama Buddha, Hindu, Kristian dan sebagainya tidak boleh menyerang kesucian agama Islam, sebagaimana Muslim juga tidak berhak menyerang kesucian agama Buddha, Hindu, Kristian dan sebagainya.
Saya rasa saya tidak perlu membedah lebih lanjut tentang isu kebebasan beragama yang cuba diperjuangkan oleh kelompok IFC atau kelompok Artikel 11 ini. Saya berpendapat bahawa mereka telah bertanggungjawab menimbulkan kekeruhan terhadap integrasi kaum yang telah berlangsung dengan harmoni sebelum ini. Kenyataan saya ini ada asasnya dan bukan emosi bahasanya. Kerana saya berpendapat bahawa isu kebebasan beragama ini hangat dibincangkan dalam keadaan rakyat Malaysia semakin hari semakin ramai yang menjadi golongan atheis atau free thinker. Tidak timbul soal sama ada Melayu berhak murtad atau tidak kerana perbuatan murtad merupakan jenayah besar dalam Islam. Tiada paksaan memeluk agama Islam, tetapi apabila sudah menjadi Muslim, wajib mematuhi ajaran yang terkandung di dalamnya kerana Islam ada ajarannya tersendiri dan perlu dihormati. Apa yang menjadi persoalannya, mengapa bangsa beragama bukan Islam begitu mengejar hak supaya orang Melayu berhak murtad daripada Islam, sedangkan penganut agama mereka sendiri, semakin hari semakin terkeluar dari agama mereka sendiri? Adakah mereka sedar atau tidak, itulah yang menjadi tanda tanya di dalam fikiran saya. Mungkin nada saya agak kasar, tetapi saya bersedia membuka ruang kepada mana-mana penganut agama lain untuk berbincang bersama-sama saya tentang apakah sebenarnya keutamaan yang perlu diperbahaskan.
Mengapa saya berpendapat sedemikian? Kerana sepanjang pengkajian saya terhadap isu ini, saya telah bertemu dengan ramai rakan saya, sama ada berbangsa Cina atau India, yang mendakwa mereka adalah free thinker. Mereka mengatakan mereka tidak percaya adanya Tuhan, walaupun mereka mengaku keluarga mereka menganut agama Kristian atau Buddha. Kesimpulan awal yang boleh saya terbitkan ialah, mereka mengisytiharkan diri mereka free thinker kerana disebabkan oleh kecetekan pengetahuan mereka terhadap agama mereka sendiri. Kecetekan pengetahuan yang saya maksudkan ialah mengenai konsep Tuhan serta konsep-konsep asas yang ada dalam agama mereka, sehingga menyebabkan mereka menolak terus kepercayaan terhadap agama mereka. Pada pendapat saya, bagi penganut agama Islam, sejauh mana mereka melanggar ajaran Islam, mereka tetap mempercayai kebenarannya, cuma mungkin nafsu yang menyebabkan mereka melanggarnya. Sebagai contoh, jika kita bertemu dengan seorang Muslim yang sedang membuat maksiat, lalu kita bertanya kepadanya sama ada dia hendak masuk syurga atau tidak, pastinya dia akan menyatakan mahu. Maksudnya, dia masih percaya kepada kebenaran, walaupun dia mengetahui dia sedang melanggar apa yang terkandung dalam ajaran Islam. Tetapi tidaklah ke tahap menafikan ketuhanan Allah s.w.t. dan menjadi seorang free thinker.
Tetapi apa yang berlaku kepada rakan-rakan saya menyebabkan saya perlu menulis artikel ini untuk menyeru kepada penganut agama lain, supaya meninggalkan persoalan menuntut kebebasan beragama, sebaliknya menumpukan usaha membasmi “keciciran” penganut agama mereka yang sedia ada. Semua rakyat Malaysia perlu kembali kepada ajaran masing-masing supaya dapat melahirkan Muslim yang berkualiti, penganut Kristian, Buddha dan Hindu yang berkualiti. Apabila setiap penganut agama di Malaysia meletakkan keutamaan sebegini, maka apa yang akan berlaku adalah integrasi yang harmoni dan matang di antara setiap bangsa dan agama. Itulah matlamat yang perlu ditujui oleh semua penganut agama di Malaysia. Soal keistimewaan hak orang Melayu tidak perlu dipersoalkan kerana mereka adalah bangsa pribumi dan majoriti yang perlu dihormati. Malah di dalam Perlembagaan, telah banyak peruntukan yang melindungi penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran masing-masing.
Mungkin kita lupa tentang prinsip pertama yang digariskan dalam Rukunegara iaitu “Kepercayaan Kepada Tuhan”. Prinsip ini menunjukkan bahawa setiap agama perlu kembali kepada ajaran agama masing-masing. Setiap agama ada kepercayaan masing-masing, maka asas kepercayaan kepada Tuhan ini perlu dibina atas landasan sikap saling hormat menghormati, bukan saling menafikan hak dan kesucian kandungan ajaran sesebuah agama. Selain itu, prinsip ini juga menegaskan bahawa negara tidak mengakui sebarang ideologi yang tidak mempercayai wujudnya Tuhan. Ini bermakna bahawa negara tidak mengiktiraf mereka yang mendakwa sebagai atheis ini, yang kebanyakannya berasal dari keluarga yang menganut kepercayaan beragama. Bagaimanakah rakyat yang tidak diiktiraf ini masih berleluasa di kalangan masyarakat kita? Cuba kita fikirkan, ketika kelompok IFC dan Artikel 11 sedang menuntut hak kebebasan beragama melalui permintaan supaya Artikel 11 digugurkan, tetapi mereka lupa bahawa tanggungjawab menjaga penganut mereka daripada “tercicir” telah diabaikan. Bukankah ini satu tindakan kurang bijak?
Saya selaku wakil pihak UNITE ingin menegaskan bahawa isu kebebasan agama tidak perlu menjadi titik pertelingkahan di antara bangsa dan kaum. Apa yang perlu kita sama-sama tangani ialah mengelakkan bertambahnya golongan atheis di dalam masyarakat, kerana usaha ini adalah titik sepunya semua bangsa dan agama ke arah mematuhi prinsip pertama Rukunegara iaitu “Kepercayaan Kepada Tuhan”. Setiap bangsa ada kepercayaan dan kecenderungan yang tersendiri di dalam memilih agama masing-masing. Islam adalah tulang belakang bangsa Melayu, sebagaimana saya yakin bangsa Cina, India dan bangsa lain ada tulang belakang masing-masing. Tidak perlu kita saling mematahkan tulang belakang rakan sendiri, sedangkan tulang belakang kita sendiri sudah lemah dan reput akibat kurangnya kalsium. Begitu juga dengan komitmen dan kecintaan terhadap agama kita. Tiada gunanya kita cuba mencemar atau menggugat komitmen dan kecintaan rakan kita terhadap agama mereka, sedangkan kita sendiri tidak komited mendalami ajaran agama kita sendiri. Sebarang kritikan terhadap artikel ini amat saya alukan. Selamat berfikir.
AHMAD SHAKIR BIN SALLEH,
Setiausaha,
University of Thinker [ UNITE ]